EPL beri amaran keras isu perkauman

EPL beri amaran keras isu perkauman

Liverpool: Ketua Eksekutif Liga Perdana Inggeris (EPL), Richard Masters memberi amaran keras bahawa mana-mana individu yang terbukti melakukan perbuatan berunsur perkauman di stadium bakal berdepan hukuman berat termasuk diusir, digantung masuk stadium dan berpotensi dikenakan tindakan undang-undang.

Amaran itu hadir sehari selepas penyerang Bournemouth, Antoine Semenyo menjadi mangsa ejekan perkauman ketika aksi menentang Liverpool di Anfield yang berkesudahan 4-2 memihak tuan rumah.

“Tiada pemain EPL sepatutnya berdepan penyalahgunaan sebegini sama ada di tempat kerja mereka iaitu stadium atau di ruang dalam talian. Ini isu masyarakat yang terbawa ke dalam bola sepak, dan ia tidak sepatutnya berlaku,” kata Masters kepada BBC Sport.

Perlawanan berkenaan terpaksa dihentikan seketika pada minit ke-29 apabila pengadil Anthony Taylor memanggil kedua-dua pengurus serta kapten pasukan, Virgil van Dijk (Liverpool) dan Adam Smith (Bournemouth), sebelum permainan bersambung empat minit kemudian.

Insiden itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat Semenyo apabila penyerang Ghana itu bangkit meledak dua gol selepas permainan diteruskan.

Polis Merseyside mengesahkan seorang lelaki berusia 47 tahun dari Liverpool yang diusir dari stadium sudah ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan perkauman dan kini dalam siasatan lanjut.

Semenyo dalam kenyataannya menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan, Liverpool, pegawai perlawanan serta seluruh komuniti bola sepak yang menunjukkan solidariti.

“Malam tadi di Anfield akan kekal dalam ingatan saya bukan kerana kata-kata seorang individu, tetapi kerana bagaimana seluruh keluarga bola sepak berdiri bersama,” tulisnya di Instagram.

Insiden di Anfield itu berlaku hanya dua hari selepas penyerang muda Tottenham Hotspur, Mathys Tel, dilaporkan turut menerima cemuhan berbaur perkauman di media sosial selepas gagal menyempurnakan penalti dalam aksi Piala Super UEFA menentang Paris Saint Germain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top