Cincinnati: Pemain pilihan utama dari Itali, Jannik Sinner mara ke final Terbuka Cincinnati selepas menyingkirkan wakil Perancis, Terence Atmane 7-6 (4), 6-2, awal pagi tadi.
Sinner, yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-24, akan berdepan pilihan kedua, Carlos Alcaraz (Sepanyol) pada final Selasa ini.
Juara bertahan itu kini melangkah ke final Masters 1000 buat kali kelapan berturut-turut, sekali gus melanjutkan rekod kemenangan di gelanggang permukaan keras kepada 26 perlawanan.
Dalam set pertama, kedua-dua pemain yang terkenal dengan servis padu masing-masing tidak berdepan masalah mengekalkan servis hingga terpaksa ditentukan menerusi tie break.
Atmane bagaimanapun melakukan kesilapan double fault pada permulaan dan akhirnya akur dengan kekalahan 7-4.
Momentum terus memihak kepada Sinner apabila berjaya melakukan break pada permainan keempat set kedua sebelum menamatkan saingan dengan sekali lagi mematahkan servis lawan untuk kemenangan selesa 6-2.
“Ia cabaran sukar kerana menentang pemain baharu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi di peringkat separuh akhir. Tekanan lebih tinggi tetapi saya gembira dengan mentaliti dan prestasi hari ini,” kata Sinner.
Sinner turut memuji Atmane yang hadir dengan ranking ke-136 dunia tetapi melakukan kejutan selepas menumbangkan dua pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, Taylor Fritz dan Holger Rune, sekali gus melonjak ke ranking baharu kariernya di tangga ke-69.
“Dia pemain berpotensi besar, dan sepanjang kejohanan ini semua sudah melihatnya. Saya harap dia berjaya pada masa depan. Dari sudut saya, sudah tentu gembira dapat ke final sekali lagi,” kata Sinner.
© New Straits Times Press (M) Bhd