Pernah jadi mangsa, buli bukan isu ringan – Bella Astillah

Pernah jadi mangsa, buli bukan isu ringan – Bella Astillah

PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah mendedahkan pernah menjadi mangsa buli ketika zaman persekolahan hingga meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, antara pengalaman pahit yang masih segar dalam ingatannya ialah ketika dia ditolak ke dinding oleh seorang pelajar lelaki yang mahu meminta nombor telefonnya semasa berada di kantin sekolah.

“Saya masih ingat nama pelajar lelaki itu walaupun kejadian berlaku ketika saya berusia 13 tahun.

“Saya bukan sahaja dibuli oleh pelajar lelaki, malah turut menjadi mangsa pelajar perempuan.

“Pernah satu ketika, topi yang saya pakai dirampas dan dibaling sesama mereka sehingga saya menangis kerana tidak dapat mengambilnya semula,” katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar pengiktirafan Thong Bowl dalam ASEAN Book of Records di IOI City Mall, kelmarin.

Tambah Bella, perbuatan buli tidak kira kecil atau besar tidak boleh dipandang ringan kerana mampu meninggalkan trauma kepada mangsa.

“Masa di sekolah rendah, saya juga pernah dibuli kerana bertutur dalam loghat Sabah. Ada rakan-rakan mengejek dan menyangka saya berasal
dari Indonesia.

“Saya melawan balik, tetapi tidak semua orang mempunyai keberanian itu. Sebab itu saya mahu tegaskan, apa juga bentuk buli jangan disimpan.

“Sebaliknya, laporkan kepada ibu bapa atau pihak sekolah supaya tindakan dapat diambil,” jelasnya.

Terdahulu, Bella memaklumkan, anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean Mohd Aliff menjadi mangsa buli di sekolah.

Walaupun sudah mendaftarkan anaknya dalam kelas taekwondo bagi membolehkannya menjaga diri, menurut Bella, Ayden,8, masih mengalami insiden sama.

Scroll to Top