am@hmetro.com.my
Kuantan: Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam selepas membuat kacau kerana mabuk dan mengganggu rakan di rumah kongsi pekerja lombong di Kampung Sungai Bayas, dekat Sungai Lembing di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun berkenaan mati akibat cedera parah ditikam di dada.
Menurutnya, hasil siasatan kejadian berlaku selepas mangsa dalam keadaan mabuk mengganggu rakan serumah sedang tidur.
“Akibatnya salah seorang rakan pekerja lombong itu bertindak menikam mangsa. Mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa rakan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Bagaimanapun lelaki terbabit disahkan sudah meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya menerusi kenyataan media.
Ashari, susulan kejadian itu polis melakukan pemeriksaan di rumah kongsi dihuni mangsa dan merampas sebilah pisau dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa.
Katanya, empat lelaki penghuni rumah kongsi terbabit membabitkan dua warga Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang penduduk tempatan berusia antara 38 dan 64 tahun turut ditahan.
“Mereka ditahan di rumah kongsi berkenaan kira-kira jam 7 pagi hari sama dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan awal, salah seorang pekerja lombong bijih yang ditahan itu sudah mengaku menikam lelaki terbabit,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
© New Straits Times Press (M) Bhd