Penyanyi dan penulis lagu British, Harris J singgah di Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena siri promosi pelancaran buah tangan terkini berjudul Revival.
Diterbitkan oleh Awakening Music, projek terbaharu ini menandakan kemunculan semula Harris J dalam industri muzik selepas beberapa tahun menyepi, sekali gus menjadi simbol kelahiran semula dirinya sebagai seorang artis.
EP Revival yang memuatkan enam buah lagu sarat dengan mesej keimanan, cinta serta perjalanan rohani. Naskhah ini juga mencerminkan kematangan Harris J baik dari sudut peribadi mahupun kerjaya, dengan penulisan lirik yang lebih jujur dan penuh makna.
Dikenali dengan karya yang mengangkat mesej positif, Harris J meluahkan rasa syukur dapat kembali bertemu peminatnya di Malaysia.
“Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat saya di sini.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini adalah inspirasi terbesar. Saya berharap EP Revival ini dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” katanya.
EP Revival turut menampilkan gabungan karya baharu serta lagu-lagu terdahulu yang diberi nafas segar. Antara trek utama yang menjadi tarikan ialah Qalbi Fil Madinah yang menampilkan kolaborasi bersama Maher Zain, selain O Allah, Salati dan Always Listening.
Single utama Hayati pula dipersembahkan bersama sebuah video muzik bernuansa sinematik arahan pengarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder, dengan penggambaran dijalankan di Granada, Sepanyol.
Bagi Harris J, karya ini bukan sekadar tanda kemunculannya kembali dalam arena muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang lebih besar.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti mereka, dan membantu mereka melihat bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna,” jelasnya.
EP Revival kini boleh didapati di semua platform penstriman utama.