kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Farm Fresh Berhad, memberi komitmen penuh membangunkan ekosistem tenusu dan luar bandar yang mampan dengan menekankan pelaburan bukan hanya pada infrastruktur, tetapi juga pembangunan modal insan serta komuniti setempat.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal berkata, kejayaan syarikat tidak diukur semata-mata melalui angka jualan, sebaliknya melalui impak kepada masyarakat luar bandar yang menjadi nadi kepada pertumbuhan syarikat itu.
“Kejayaan sebenar adalah apabila seorang anak kampung mampu menghantar anaknya ke universiti, belia Felda boleh menjadi juruteknik bertauliah dan seorang suri rumah percaya kepada potensinya sendiri,” katanya ketika berucap pada Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Kilang Farm Fresh Perak, baru-baru ini.
Beliau berkata, Farm Fresh yang ditubuhkan pada 2009 dengan hanya 60 ekor lembu kini mengoperasikan tujuh ladang dengan hampir 16,000 lembu di Malaysia, Australia dan Filipina.
Katanya, ladang di Perak seluas 828 ekar (335.08 hektar) yang mula beroperasi sejak 2023 menempatkan lebih 4,300 ekor lembu tenusu dengan pengeluaran melebihi 12 juta liter susu segar setahun.
Selain menghasilkan susu dipastur, aiskrim dan mentega, ladang itu turut mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pembelajaran mesin (ML) bagi menimbang berat lembu secara digital.
Azmi berkata, kilang berkenaan bukan sahaja mewujudkan 150 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripadanya terdiri daripada anak muda bawah 30 tahun, malah membuka ruang kepada ladang kecil apabila Farm Fresh membeli susu mereka pada harga lebih tinggi.
Syarikat itu turut membina rangkaian ‘satellite farmers’ dan memperluaskan Program Home Dealer yang kini mempunyai lebih 880 ejen aktif, di mana 80 peratus adalah wanita serta suri rumah, dengan sumbangan 32 peratus kepada hasil syarikat.
Dalam masa sama, Farm Fresh melaksanakan Program Susu Sekolah 2025-2029 yang membekalkan 85 juta pek susu setahun kepada 387,000 pelajar di seluruh negara selain menyalurkan biasiswa Tingkatan 6 kepada 500 pelajar luar bandar.
“Kilang Farm Fresh Perak ini bukan sekadar fasiliti, ia simbol harapan bahawa syarikat tempatan mampu berkembang sambil mengangkat martabat masyarakat luar bandar.
“Prinsip kami jelas, perniagaan dan komuniti boleh bergerak seiring,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd