am@hmetro.com.my
Kulai: Tembelang sepasang suami isteri yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah bernilai RM3.59 juta terbongkar apabila mereka diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di daerah ini pada 25 Jun lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam serbuan jam 10.50 pagi itu, lelaki tempatan, 40 tahun dan wanita tempatan, 34 tahun ditahan.
“Kita merampas 16 paket plastik disyaki serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 21,766 gram; 44 paket plastik atau 1,888 gram serbuk ekstasi; 1,621 biji atau 570 gram pil ekstasi; 6,400 biji pil erimin 5 dan tiga paket ketamin.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak 26.94 kilogram dengan nilai pasaran dadah dianggarkan bernilai RM3.59 juta dan jumlah dadah yang dirampas itu mampu digunakan oleh kira-kira 90,277 orang,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, kedua-dua suspek berperanan aktif sebagai pengedar dadah dan dipercayai aktif sejak awal Januari lalu.
Katanya, modus operandi mereka adalah menjadikan rumah kediaman sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine manakala isterinya negatif. Hasil semakan mendapati suspek lelaki memiliki rekod kesalahan lampau kes dadah.
“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari hingga 1 Julai nanti bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Menurut Ab Rahaman, ketika serbuan dibuat, pokis turut menyita tiga kereta, wang tunai RM25,000 dan pelbagai barang kemas dengan jumlah keseluruhan sitaan adalah sebanyak RM206,752.
© New Straits Times Press (M) Bhd




