suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Belum hilang dari ingatan, detik pasukan penyelamat melaungkan azan dan lafaz syahadah ketika menemukan jasad Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang dipercayai tersesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Selangor pada 26 Mei lalu, tetapi kini anggota terbabit pula hilang di Nepal.
Pendaki profesional dan anggota Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, sehingga kini masih gagal dihubungi selepas bencana banjir besar melanda Nepal pada 26 Ogos lalu.
Mohd Fakhrul atau lebih mesra disapa Loe dalam kalangan penggiat sukan lasak itu berada di negara berkenaan bersama beberapa yang lain dalam misi menjayakan ekspedisi pendakian sebelum bencana berkenaan melanda.
Sehingga kini, tiada berita mengenai keberadaan Loe dan beberapa individu lain yang turut dilaporkan hilang, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga serta rakan seperjuangan.
Isterinya, Hani Othman mengesahkan masih belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung status atau keadaan keselamatan suaminya.
Mengimbas operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Izzati Humaira disertai Loe yang juga jurulatih Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, perkongsiannya ketika itu memaklumkan bahawa operasi berkenaan tidak mudah kerana pasukan penyelamat terpaksa meredah bentuk muka bumi berbukit serta kawasan berpaya, namun mereka tetap meneruskan pencarian sehingga mangsa ditemukan.
Loe berkongsi penemuan remaja berkenaan menjadi kenangan yang sukar dilupakan apabila pasukan penyelamat menemui jasadnya jam 11.58 pagi dengan suasana ketika itu diselubungi kesayuan apabila ada anggota melaungkan azan dan sebahagian yang lain melafazkan kalimah syahadah.
Menurut perkongsiannya, suasana terakhir operasi SAR itu seolah-olah memanggil supaya mencari di kawasan itu dan ia membawa kepada penemuan jasad mangsa.
Pengalamannya itu memperlihatkan sisi Loe sebagai anggota penyelamat yang berpegang kepada misi SAR, selari dengan pengalaman hampir 25 tahun dalam aktiviti pendakian dan sukan ekstrem.
Loe yang sudah 21 tahun berkhidmat bersama JBPM turut mempunyai rekod pendakian di peringkat antarabangsa termasuk Everest Base Camp dan Annapurna Base Camp di Nepal, Gunung Fansipan di Vietnam, Gunung Damavand dan Gunung Alam Kouh di Iran, Gunung Siguniang di China, Gunung Kosciuszko di Australia, Gunung Fuji di Jepun dan Gunung Von Bulow di New Zealand.
Kini, anggota yang pernah berada di barisan hadapan mencari orang hilang itu pula menjadi individu yang dinantikan khabarnya, dengan keluarga dan rakan seperjuangan berharap misi pencariannya di Nepal dapat membawa berita gembira.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad ketika dihubungi menyifatkan Loe dan seorang lagi anggota yang masih hilang itu adalah aset besar jabatannya kerana mempunyai kepakaran serta kualiti disiplin tersendiri.
“Pihak JBPM berharap lokasi dan keberadaan semua mangsa dapat dikenal pasti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

