Bangga bawa imej Malaysia

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Berkelana ke 15 negara atas tuntutan kerjaya tidak pernah membuatkan Cempaka Lim melupakan asal usulnya, malah identiti sebagai rakyat Malaysia menjadi antara bekal penting membantunya menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.

Perjalanan kerjayanya sebagai jurutera petroleum turut menyaksikan Cempaka terbabit dalam operasi di Oman yang didominasi lelaki sebelum dipilih sebagai satu-satunya wakil Asia dalam barisan panel dan juri program Young ADIPEC di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurutnya, latar belakang sebagai rakyat Malaysia turut menjadi kelebihan ketika membina kerjaya di peringkat antarabangsa termasuk kebolehannya bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Katanya, pengalaman membesar dalam masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya pula mengajarnya untuk lebih terbuka, mudah menyesuaikan diri serta menghormati perbezaan.

“Nilai inilah yang banyak membantu saya dalam kerjaya terutama apabila bekerja dan berinteraksi dengan orang daripada pelbagai negara dan latar belakang.

“Di mana sahaja pergi, saya sangat bangga menjadi seorang rakyat Malaysia,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, antara pencapaian paling membanggakan sepanjang perjalanan kerjayanya apabila dipilih sebagai panel dan juri program Young ADIPEC sempena ADIPEC di Abu Dhabi pada 2023, satu persidangan tenaga dan petroleum terbesar dunia.

“Saya satu-satunya wakil dari Asia dalam barisan berkenaan dan diberi kepercayaan menilai serta berkongsi pandangan bersama pakar teknikal dan profesional berpengalaman dari Timur Tengah serta pelbagai negara.

“Bagi saya, peluang ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi tetapi satu kebanggaan kerana dapat membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa dan menunjukkan rakyat Malaysia juga mampu bersaing serta diberi kepercayaan dalam kalangan pakar industri global,” katanya.

Cempaka berkata, pengalaman bertugas di Oman pula menguji kemampuannya apabila menjadi satu-satunya jurutera wanita terbabit secara langsung dalam operasi khususnya dalam bidang teknikal yang sememangnya didominasi lelaki.

“Pengalaman itu banyak membentuk diri saya untuk lebih yakin, berani dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab.

“Ia juga mengajar saya sebagai seorang wanita, kita tidak seharusnya melihat dominasi lelaki sebagai satu halangan tetapi peluang untuk membuktikan kemampuan dan kepakaran kita,” katanya.

Bagi Cempaka, perjalanan merentas negara itu juga menjadikan erti kemerdekaan dekat dengan kehidupannya sendiri iaitu kebebasan menentukan hala tuju dan membuat pilihan, namun kebebasan itu perlu disertai tanggungjawab.

“Bagi saya, kemerdekaan bermaksud kebebasan untuk membuat pilihan sendiri, menentukan hala tuju hidup dan membuat keputusan tanpa dikongkong.

“Namun, kebebasan itu datang bersama tanggungjawab. Kita perlu berani berdiri atas pilihan dan bersedia menerima segala akibat daripada keputusan yang kita buat,” katanya.

Menurutnya, antara caranya menyumbang kepada tanah air adalah dengan membawa imej Malaysia sebaik mungkin ke mana sahaja berada selain menjadikan setiap pencapaian di peringkat antarabangsa sebagai peluang memperkenalkan keupayaan dan profesionalisme rakyat negara ini.

“Saya mahu orang mengenali Malaysia bukan sahaja melalui keindahan negara kita, tetapi juga melalui bakat, ilmu, profesionalisme dan pencapaian rakyatnya.

“Saya berharap Malaysia terus menjadi sebuah negara aman, makmur dan bersatu padu selain kita terus menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara ini, saling menghormati antara satu sama lain dan memberi peluang kepada generasi muda untuk berada di persada dunia serta mencapai potensi mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top