Angkara kata-kata Prabowo, Indonesia jadi bahan jenaka

Angkara kata-kata Prabowo, Indonesia jadi bahan jenaka

Peribahasa Melayu ada mengatakan, kerana pulut santan binasa, kerana mulut, badan binasa. Namun, dalam hal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, kata pepatah ini seolah-olah membawa makna yang sedikit berbeza.

Bukan sekali, malah beberapa kali sepanjang 2026, Prabowo mencuri perhatian ramai terutamanya warganet menerusi kenyataan spontan kontroversi yang tak terjangkau dek akal.

Kenyataan yang sepatutnya mencerminkan kewibawaan seorang ketua negara sebaliknya menjadi bahan jenaka, sindiran dan kecaman hingga menyebabkan rakyat pula terpaksa menanggung malu kerana pemimpin mereka yang selamba ‘terlepas cakap’.

Antara kenyataan bekas Menteri Pertahanan itu yang paling mengundang kecaman adalah ketika beliau menyarankan rakyat yang menganggap masa depan Indonesia suram supaya berpindah ke negara lain.

Niat asal beliau mahu rakyat optimistik terhadap masa depan negara, namun ungkapan “silakan pindah” pantas menjadi bahan perdebatan termasuk di Malaysia.

Ironinya, seruan patriotisme itu akhirnya bertukar menjadi ejekan banyak pihak.

Prabowo turut mencabar pihak yang tidak menyukai kepimpinannya supaya ‘bertarung’ dengannya pada Pilihan Raya Presiden 2029 (Pilpres).

Walaupun menganggapnya sebagai sebahagian daripada persaingan demokrasi, kenyataan itu sekali lagi mengundang kritikan terhadap gaya Prabowo yang lantang mencabar pihak yang bercanggah pendapat dengannya.

Prabowo juga pernah dikecam kerana melabel wartawan, pemerhati dan NGO sebagai ‘londo ireng’ iaitu pihak yang lebih menyebelahi kepentingan asing.

Kenyataan tersebut bukan sahaja mencetuskan polemik malah memberi gambaran seolah-olah mereka yang berbeza pandangan dengan kerajaan mudah dituduh sebagai ‘antek asing’.

Kontroversi demi kontroversi

Belum reda isu tersebut, Prabowo sekali lagi menjadi perhatian selepas menyarankan pihak yang menganggap harga beras terlalu mahal supaya “tanam padi sendiri”.

Ketika menghadiri Panen Raya Serentak di Malang pada 17 Julai lalu, beliau turut berseloroh Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Kementerian Pertanian kononnya boleh menyediakan tanah.

Walaupun pandangan itu dibuat bagi mempertahankan kebajikan petani, ia tetap mengundang sindiran kerana isu harga makanan begitu dekat dengan kehidupan rakyat.

Satu lagi momen yang mencuit perhatian apabila Prabowo mencadangkan inovasi bahan pemadam berasaskan tepung ubi atau singkong bagi menangani kebakaran hutan dan tanah pertanian yang semakin merebak.

Selepas mendengar penerangan mengenai bahan tersebut, beliau berseloroh dengan istilah ‘ubi bombing’ sebagai alternatif kepada kaedah water bombing menggunakan helikopter. Beliau turut meminta inovasi itu diuji dan dikembangkan pada skala lebih besar.

Cadangan itu bagaimanapun menjadi bahan jenaka di media sosial dengan sebahagian warganet membayangkan tepung dapur digunakan untuk memadam kebakaran.

Terlanjur kata

Angkara kata-kata Prabowo, Indonesia jadi bahan jenaka

Sebahagian daripada catatan dikongsikan warganet yang mempersenda ucapan beliau. – Foto: Agensi

Ketika pidato baru-baru ini, beliau menjadi bualan selepas tersasul tentang Susanah, seorang wanita dari Bogor. Prabowo memperkenalkan Susanah sebagai buruh harian yang mengupas bawang dengan upah 700,000 rupiah (RM160) sekilogram.

Namun, kenyataan itu segera dipersoalkan apabila keluarga Susanah tampil menjelaskan bahawa dia sebenarnya bekerja sebagai tukang jahit kain lap majun dengan upah sekitar 700 rupiah (16 sen) sekilogram, selain bertugas di dapur program Makan Bergizi Gratis (MBG).

Selepas video ucapan itu tular, ada warganet yang berseloroh mahu ‘tukar kerja’ menjadi pengupas bawang kerana jumlah pendapatan lumayan yang disebut Prabowo.

Kesemua episod ini memperlihatkan satu perkara jelas iaitu setiap kali Prabowo terlanjur apabila berkata-kata, ia akhirnya turut mengheret nama Indonesia dan rakyatnya.

Prabowo mungkin mempunyai maksud tertentu di sebalik setiap kenyataan tersebut. Namun, dalam era media sosial, cara sesuatu mesej disampaikan kadangkala ‘terpesong’ daripada maksud asalnya.

Namun, bukan semua rakyat Indonesia bersetuju dengan kenyataan Prabowo. Reaksi di media sosial sendiri menunjukkan pandangan masyarakat yang berbeza terhadap gaya komunikasi Presiden mereka.

Persoalannya, sejauh mana seorang Presiden perlu berhati-hati dalam setiap tutur katanya? Dek satu kata-kata yang tular, rakyat yang tidak ada kena-mengena dengan politik pula terheret sama, berdepan jenaka, sindiran dan pelbagai tanggapan terhadap negara sendiri.

Scroll to Top