London: Selepas mengembara ke India selama 75 hari menggunakan sebuah beca bermotor tiga roda (auto-rickshaw), sepasang suami isteri memutuskan untuk membawa pulang beca berkenaan ke United Kingdom (UK) untuk mengabadikan kenangan mereka di negara itu, lapor NDTV.
Pasangan suami isteri itu, Helen dan Mick menggunakan beca Bajaj berwarna merah dan hitam yang diberi nama ‘Timmy the Tin Can’ sebagai panggilan manja sepanjang perjalanan mereka.
Kenderaan itu membawa mereka merentasi pelbagai bandar, negeri dan mercu tanda termasuk Agra serta Taj Mahal.
Difahamkan, dengan lukisan mata kartun dan senyuman pada bahagian hadapan, Timmy turut menjadi tumpuan sepanjang perjalanan pasangan berkenaan.
Selepas perjalanan berakhir, pasangan itu tidak sanggup meninggalkan kenderaan yang sudah menemani mereka mengembara sejauh ribuan kilometer (km) sehingga akhirnya memutuskan untuk mengatur penghantaran ke UK.
Bagaimanapun, usaha membawa pulang Timmy mengambil masa lebih lama apabila pasangan itu terpaksa menunggu selama enam bulan.
Menurut media, mereka akhirnya menyambut ketibaan kenderaan berkenaan di Pelabuhan London Gateway pada 23 Oktober 2026 lalu.
Dalam masa sama, tokoh industri, Harsh Goenka berkongsi kisah itu menerusi platform X, sekali gus menarik perhatian pengguna media sosial terhadap perjalanan Timmy dari jalan raya India hingga ke UK.
Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam talian, termasuk komen pengguna yang menyifatkan perjalanan itu menakjubkan dan memuji penampilan kenderaan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




