KOTA BHARU: Tanah rizab Kerajaan Negeri Kelantan akan habis sekiranya membenarkan penduduk membina rumah secara haram tanpa kebenaran.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, perkara itu salah disisi undang-undang dan sekiranya ia berlaku, pentadbiran negeri akan menjadi huru-hara.
“Sebenarnya, rumah yang dibina di atas tanah rizab kerajaan tanpa kebenaran itu sebenarnya salah dari segi undang-undang begitu. Selagi tidak ada pemilikan ataupun tidak ada kebenaran, kita tak boleh.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Jadi kalau kita nak membantu orang yang melakukan kesalahan dari segi undang-undangnya memang tidak bolehlah. Jadi kalau Yang Berhormat nak bantu juga, itu pandai-pandailah, tetapi saya nak kata benda tu boleh, tak boleh. Nak kata boleh tu tak boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (BN-Nenggiri), berhubung dasar dan pertimbangan Kerajaan Negeri dalam menyalurkan bantuan membaiki rumah kepada golongan miskin yang telah lama menetap di tanah rizab negeri, tetapi tidak mempunyai geran hak milik kekal pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd Nassuruddin berkata, pihaknya akan membantu dan mempertimbangkan permohonan sekiranya ada rakyat yang ingin memiliki rumah di tanah kerajaan Negeri.
“Susah juga kita nak membenarkan perkara yang bercanggah ini, kita boleh usahakan kalau kawasan (contoh) Gua Musang dan juga Jeli, kerana tanah kerajaan masih banyak di sana.
“Jadi mungkin boleh berbincang dengan pejabat tanah, tengok tanah-tanah kerajaan yang boleh kita luluskan untuk tapak rumah, Insya-Allah kita pertimbangkan,” katanya.-BERNAMA




