NARATHIWAT (THAILAND): Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) mahu sebarang usaha menyelesaikan konflik di Selatan Thai dilakukan melalui rundingan yang adil dan menyeluruh bagi memastikan keamanan dicapai benar-benar berkekalan.
Presidennya, Kasturi Mahkota berkata, tuntutan kemerdekaan PULO kekal menjadi pendirian organisasi itu berikutan pengorbanan besar sepanjang konflik termasuk anggota pejuang yang gugur serta sebahagian yang dipenjarakan.
Katanya, konflik berkenaan turut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga apabila ada isteri kehilangan suami dan anak-anak menjadi yatim piatu.
“Rundingan mesti adil, menyeluruh dan hasilnya berkekalan. Bukan hanya mencari perdamaian sementara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kasturi berkata, penyertaan semua pihak penting bagi memastikan proses rundingan tidak sekadar menghasilkan perdamaian sementara, sebaliknya mampu menjadi asas kepada penyelesaian konflik yang berkekalan.
Beliau berkata, PULO kekal dengan tuntutan kemerdekaan namun tidak menutup pintu untuk berbincang dengan kerajaan Thailand mengenai apa sahaja bentuk penyelesaian, termasuk autonomi penuh
Katanya, pendirian itu kekal kerana konflik menuntut kemerdekaan yang tercetus sejak sekian lama telah mengorbankan ramai pejuang.
Menurutnya, PULO tidak pernah mengetepikan tuntutan kemerdekaan namun bersedia membincangkan hala tuju bagi menghentikan konflik dan mencapai keamanan.

