London: Masa depan Lewis Hamilton dalam Formula Satu (F1) terus menjadi perdebatan, namun sejarah menyaksikan seorang bekas pemandu pernah meninggalkan Ferrari sebelum musim berakhir.
Arturo Merzario, yang beraksi untuk beberapa pasukan sepanjang sembilan musim dengan 57 perlumbaan F1, menamatkan kariernya bersama Ferrari lebih awal selepas mengecewakan bos besar, Enzo Ferrari dan bertelagah dengan rakan sepasukan, Jacky Ickx.
Merzario turut terbabit dalam ujian jentera digelar ‘snowplough’ yang akhirnya tidak pernah digunakan dalam perlumbaan, walaupun rekaan itu menjadi asas kepada kereta juara dunia selepasnya.
“Pada 1973 saya memilih untuk meninggalkan pasukan,” kata Merzario kepada Gazzetta dello Sport.
“Apabila saya selamatkan (jurutera pasukan) Mauro Forghieri daripada masalah, kehidupan menjadi sangat sukar untuk saya. Jadi saya buat keputusan tinggalkan pasukan sebelum beberapa perlumbaan terakhir,” katanya lagi
Ketika ini, seorang lagi pemandu Ferrari turut menjadi topik perbincangan kerana berdepan masalah dengan jentera dan seakan-akan mahu meninggalkan F1 lebih awal iaitu Lewis Hamilton.
Hamilton melalui perlumbaan yang buruk di Grand Prix Hungary, sekali gus mencetus persoalan mengenai berapa lama lagi dia akan terus berlumba.
Namun Merzario, yang kekal sebagai figura legenda Ferrari, menegaskan Hamilton mesti meneruskan kariernya.
“Ia belum berakhir. Dia hanya menunggu peluang yang tepat. Dia akan ambil risiko bila perlu, bukan untuk kedudukan kelapan.
“Tambahan pula, jika dia mahu pergi sekalipun, dia pasti akan dapat pasukan lain. Hamilton sudah buktikan nilainya.
“Ia bukan seperti situasi Charles Leclerc. Charles masih perlu membuktikan dia seorang juara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd