Amorim singkir Hojlund lagi

Amorim singkir Hojlund lagi

London: Rasmus Hojlund dijangka diketepikan daripada skuad Manchester United bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal di Old Trafford, malam ini.

Difahamkan, keputusan itu dibuat pengurus, Ruben Amorim di tengah-tengah spekulasi hangat mengenai masa depan penyerang Denmark berusia 22 tahun itu.

Walaupun Hojlund sebelum ini menegaskan hasrat untuk kekal bersama United, kehadiran Benjamin Sesko dari RB Leipzig dengan nilai £73.7 juta (RM420.9 juta) dijangka mengehadkan peluangnya untuk beraksi.

Amorim turut meletakkan Hojlund di bangku simpanan ketika aksi persahabatan pramusim terakhir menentang Fiorentina pada 9 Ogos lalu, meskipun Sesko hanya diperkenalkan kepada penyokong sebelum sepak mula.

AC Milan antara kelab yang berminat mendapatkan khidmat Hojlund, namun setakat ini masih tiada persetujuan dicapai.

Hojlund, yang dibeli United dengan harga £72 juta (RM411.2 juta) dua tahun lalu, menjadi penyerang utama musim lalu dengan menjaringkan 10 gol dalam 52 penampilan.

Musim pertamanya lebih cemerlang apabila meledak 16 gol selepas berpindah dari kelab Itali, Atalanta.

Keputusan untuk mengetepikan Hojlund turut mendapat sokongan pihak pengurusan tertinggi United.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top