Syabu RM1.9 juta ditemui dalam bot hanyut

Syabu RM1.9 juta ditemui dalam bot hanyut

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Misteri penemuan sebuah bot pemancing yang hanyut di Stesen PAPA, kira-kira 273 kilometer dari ibu negeri ini semalam, membawa kepada penemuan 42 kilogram dadah.

Bot pemancing yang dipercayai ditinggalkan di kawasan perairan jagaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu didapati membawa dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM1.9 juta.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@ Razali berkata, bot berkenaan ditemui pada jam 8.20 pagi oleh pasukan TLDM.

Katanya, sebaik penemuan bot tanpa nombor pendaftaran berkenaan, pihak TLDM terus menghubungi Maritim Malaysia untuk serahan dan tindakan selanjutnya.

“Pemeriksaan awal oleh pihak TLDM menemui tiga bungkusan mencurigakan yang disimpan di ruang bilga bot berkenaan.

“Setiba di jeti APMM Sepanggar, pemeriksaan lanjut dilaksanakan dengan bantuan pasukan forensik berjaya menemui 39 bungkus lagi dadah yang disembunyikan di dalam tangki penyimpanan air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan.

Mohd Khairulanuar berkata, semua dadah itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Nilai keseluruhan bot dan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.5 juta berdasarkan harga pasaran semasa.

“Ini adalah rampasan terbesar tahun ini oleh Maritim Malaysia Sabah dan semua dadah berkenaan dipercayai untuk diseludup ke pasaran negara jiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top