Polis siasat kejadian kanak-kanak dibuli, ditendang

Polis siasat kejadian kanak-kanak dibuli, ditendang

farid_noh@bh.com.my

Pasir Gudang: Polis sedang menyiasat kejadian tular seorang kanak-kanak menjadi mangsa buli apabila ditendang kanak-kanak lelaki lain di bawah blok kawasan perumahan di Taman Molek, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi satu minit 24 saat memaparkan mangsa lelaki didatangi sekumpulan empat kanak-kanak dengan seorang daripadanya menendang perut mangsa.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang pada 14 Julai lalu.

“Dalam kejadian itu, anak pengadu ditendang di bahagian perut oleh seorang kanak-kanak lelaki dipercayai tinggal di kawasan perumahan yang sama.

“Ibu mangsa berusia 33 tahun membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, semalam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian tular menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berseluar pendek dan memakai baju merah didatangi sekumpulan empat kanak-kanak lelaki lain.

Seorang daripada empat kanak-kanak itu menendang perut mangsa sebelum melarikan diri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top