Himpunan RXZ Member 7.0, penganjur tak campur tangan tugas pihak berkuasa

Himpunan RXZ Member 7.0, penganjur tak campur tangan tugas pihak berkuasa

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Penganjur program RXZ Member 7.0 tidak akan campur tangan atas segala bentuk tindakan dan penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa sepanjang program berkenaan berlangsung di Litar Permotoran Terengganu di Gong Badak pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pihak penganjur juga tidak akan bertanggungjawab terhadap peserta yang dikenakan tindakan undang-undang sepanjang program berkenaan .

Justeru, Pengarahnya, Mohd Ridzwan Idris, menyeru supaya peserta tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, sentiasa memberi kerjasama baik dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa yang menjalankan tugas penguatkuasaan dan kawalan keselamatan sepanjang program berkenaan.

“Sama-samalah kita menjaga imej program dan tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang, membuat bising dan berlumba sehingga mencemarkan imej program.

“Kita (penganjur) tidak akan campur tangan atas segala bentuk tindakan dan penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya tidak menaikkan atau mengibarkan sebarang bentuk poster atau kain rentang yang boleh mencetuskan keharmonian program dan berunsur politik.

Katanya, sebagai menghargai peserta, pihaknya akan mengadakan beberapa program sampingan seperti hiburan pentas yang menampilkan beberapa artis popular dan selebriti.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada (Datuk) Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin dan seluruh kontinjen Terengganu yang memberi kerjasama baik bagi memastikan program yang dijangka dihadiri 100,000 peserta termasuk dari luar negara berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, seramai lebih 600 pegawai dan anggota digerakkan bagi menjalankan pengutakuasaan pelbagai sudut bagi memastikan program berjalan lancar dan tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.

Polis turut memberi jaminan tidak ada pendekatan penguatkuasaan menerusi sekatan jalan raya (SJR) dan sitaan sepanjang program berlangsung,

Justeru beliau meminta peserta memberi kerjasama baik dengan tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang jalan raya.

Katanya, rondaan di kawasan penginapan serta rumah inap bagi memastikan turut dilakukan bagi menjamin keselamatan peserta dan orang awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top