Isak berlatih tanpa rakan sepasukan

Isak berlatih tanpa rakan sepasukan

Newcastle: Alexander Isak tampak muram apabila kembali menjalani latihan bersama Newcastle hanya beberapa jam selepas hubungannya dengan ‘The Toon menjadi tegang.

Penyerang dari Sweden yang sedang mogok dan bertekad menyertai Liverpool menyuarakan hasratnya secara terbuka untuk meninggalkan kelab dalam satu kenyataan mengejutkan, semalam.

Penjaring terbanyak musim lalu dengan 27 gol itu tidak hadir ke Anugerah PFA di Manchester dan mendakwa Newcastle sudah melanggar janji dan menyatakan bahawa adalah ‘lebih baik jika dia meninggalkan kelab itu.’

Newcastle membalas dengan kenyataan tegas mereka sendiri apabila menyatakan bahawa ‘tiada sebarang komitmen pernah dibuat’ bahawa pemain berusia 25 tahun itu dibenarkan pergi.

Situasi terus tegang apabila Isak tiba dengan kekok di pusat latihan Newcastle di Darsley Park semalam sebelum pertelingkahan secara umum itu sempat reda.

Pemain yang dianggarkan bernilai RM853 juta itu dijangka dikenakan denda kerana enggan bermain menentang Aston Villa dan sejak krisis itu bermula, dia sudah berlatih secara bersendirian untuk mengekalkan tahap kecergasannya.

Isak kelihatan kecewa dan menjalani latihan tanpa kehadiran jurulatih utama dan sumber daripada NUFC Blog mendedahkan bahawa seorang jurulatih akademi sudah dipanggil untuk menguruskan sesi latihan petang bersamanya.

Seorang kakitangan membawa beg berisi bola dilihat bekerja bersama penyerang itu yang kelihatan murung ketika memakai pakaian latihan rasmi Newcastle di padang.

Sumber NUFC Blog berkata,”Isak hanya melakukan larian ringan dan latihan hantaran menggunakan papan lantun sebelum melakukan penyudah ke gawang kosong. Sejujurnya, ia kelihatan agak menyedihkan”.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top