am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki menyembunyikan kelahiran dengan menanam janin teman wanitanya di sebuah kebun dan belakang rumahnya.
Perintah reman terhadap suspek berusia 27 tahun yang juga pekerja pelabuhan di Johor Bahru bermula hari ini dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bagi membantu siasatan berhubung tindakannya.
Berdasarkan laporan dibuat, perbuatan suspek terbongkar selepas teman wanitanya berusia 25 tahun mendapat rawatan di hospital selepas mengadu sakit belakang.
Teman wanita suspek menggugurkan janin berusia 17 minggu di sebuah rumah dalam daerah ini selepas memakan ubat yang dibeli dalam talian.
Semasa mendapat rawatan di hospital, doktor mengesyaki ada sesuatu yang pelik sebelum teman wanitanya menceritakan perkara sebenar.
Sebaik menggugurkan janin itu, suspek membawa ke sebuah kebun milik ahli keluarga dan menggali lubang lalu menanamnya pada jam 3 petang minggu lalu.
Selain itu, beberapa ketulan darah daripada saki baki perbuatan itu kemudiannya ditanam di belakang rumah pada jam 8 malam tanpa disedari ahli keluarganya.
Susulan tindakan itu, polis menahan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 315 dan Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Berikutan terbongkarnya perbuatan suspek, pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat dikerahkan kedua-dua lokasi petang tadi.
Beberapa barangan dipercayai berkaitan dengan kes ini ditemukan antaranya baju jersi, kertas mengandungi cebisan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




