bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2 di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly dikatakan tergelincir ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras.
Katanya, mangsa dikatakan bermain dengan seorang abangnya berusia sembilan tahun dan seorang rakan lain berusia 12 tahun sebelum tergelincir ke dalam longkang.
“Pada jam 4.20 petang, sepasukan 10 anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan. Operasi dibantu pasukan bomba dengan kekuatan 14 anggota dan sembilan unit skuba.
“Ketika kejadian, kawasan di sini hujan lebat. Operasi pencarian masih dilakukan dari lokasi mangsa terjatuh sehingga ke Taman Arowana,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, malam ini.
Beliau berkata, setakat ini mangsa belum dijumpai dan tiada sebarang petunjuk serta usaha pencarian masih diteruskan.
Katanya, berdasarkan penilaian dari pihak bomba, laluan air dari lokasi mangsa terjatuh akan terus ke Mambau.
“Kita akan teruskan operasi pencarian sehingga mangsa ditemui dan mungkin disambung semula esok andai mangsa belum ditemui dan selepas itu mungkin kita akan membuat penilaian semula.
“Kita akan memaklumkan perkembangan selanjutnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




