Nikmati sarapan dalam suasana zaman 70-an

Nikmati sarapan dalam suasana zaman 70-an

TATKALA melangkah masuk ke restoran ini, alunan muzik tahun 70-an menerobos ke corong telinga dengan mata akan tertumpu kepada hiasan dalaman barang-barang lama yang menambah nuansa klasiknya.

Nama yang diberikan pemiliknya, Muhammad Faiz Hilmy, 35, juga sangat klasik iaitu Warong Kopi Chamcha yang terletak di sebuah bangunan lama berusia hampir 70 tahun.

Sejak lebih setahun lalu Warong Kopi Chamcha menjadi lokasi orang ramai menikmati sarapan dengan pelbagai juadah makanan kampung yang menarik.

Apa disajikan menarik kerana sambil menunggu hidangan, pelanggan berpeluang menikmati suasana zaman dahulu yang dilalui oleh generasi terawal dengan suasana restoran yang sederhana namun penuh nostalgia.

Terdapat lebih 40 menu makanan dan minuman untuk sarapan di Warong Kopi Chamcha. Namun tarikan yang cukup mencuri perhatian adalah sate ayam dan daging yang dihidangkan bersama nasi impit.

WARONG KOPI CHAMCHA

Lokasi: Lot 102 Pekan Atap, Jalan Utama Sungai Petani, Gurun Kedah
Operasi: 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari – Khamis hingga Selasa

(Rabu tutup)

Menurut Muhammad Faiz, menikmati sate barangkali sesuatu yang agak luar biasa di Kedah. Namun ia cukup popular di selatan tanah air.

“Saya pernah berkunjung ke Johor dan orang di sana terutama dekat Muar makan sate sebagai sarapan jadi saya adaptasi menu ini untuk Warong Kopi Chamcha.

“Sate ini bagaimanapun digoreng bukan dibakar seperti selalu dan setakat ini ramai pelanggan menggemarinya,” kata Muhammad Faiz ketika ditemui di restorannya itu, baru-baru ini.

Bagi penggemar makanan tradisional pula, hidangan peknga atau lempeng kelapa turut menjadi antara pilihan yang boleh dicuba.

Nikmati sarapan dalam suasana zaman 70-an

Makanan yang cukup sinonim dengan sarapan masyarakat Melayu Kedah itu mengingatkan kepada hidangan yang sederhana tetapi mengenyangkan.

Muhammad Faiz Hilmy menunjukkan antara menu sarapan di Warong Kopi Chamcha.Lempeng ini dihidangkan bersama pelbagai jenis kuah mengikut selera pelanggan seperti gulai daging, gulai kambing, gulai ayam, sambal sardin dan gulai ikan.

Antara menu yang boleh dicuba adalah roti sarang burung, roti benggali bakar dan roti jala serta masakan goreng termasuk char kuey teow Namun setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad menu nasi lemak daun pisang yang sempurna aromanya akan menjadi pilihan di Warong Kopi Chamcha.

Menurut Muhammad Faiz, beliau memilih konsep klasik yang penuh nostalgia itu untuk memberi kelainan kepada restoran berkenaan.

“Saya menghabiskan modal kira-kira RM60,000 untuk membeli barang-barang lama ini dari seluruh negara. Ini semua untuk memberi pengalaman baharu kepada pelanggan terutama generasi muda melihat apa yang ada pada zaman lampau.

“Sambil menikmati sarapan mereka akan merasai kenangan makan di sebuah kedai kopi zaman dulu-dulu,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top