184 mesin pengimbas diserah kepada AKPS, kukuh kawalan sempadan

184 mesin pengimbas diserah kepada AKPS, kukuh kawalan sempadan

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 184 unit mesin pengimbas kargo dan bagasi milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu masuk utama negara akan diserahkan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) secara berperingkat bagi memperkukuh kawalan sempadan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, daripada jumlah itu, 132 unit mesin pengimbas dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Pada masa ini, JKDM melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh interim dengan penuh dedikasi sehingga proses penyerahan sepenuhnya kepada AKPS selesai.

“JKDM sentiasa memastikan aktiviti penyeludupan dapat dibendung melalui penguatkuasaan undang-undang dan penggunaan teknologi terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anis Rizana berkata, mesin pengimbas merupakan kaedah atau inisiatif JKDM dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan daripada terus berleluasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, JKDM sudah memperoleh tambahan 20 anjing pengesan dadah di seluruh negara dengan kejayaan membanteras penyeludupan dadah, ketum dan ‘precursor’ sebanyak 9,809.03 kilogram.

“Bagi meningkatkan lagi keupayaan JKDM, dijangka tiga unit Mobile Backscatter X-ray pada September 2025 akan diterima bagi tujuan membanteras aktiviti penyeludupan dadah.

“Selain itu, pada Julai lalu, kita telah diberikan sebanyak 24 unit kenderaan pacuan empat roda untuk

kegunaan anggota operasi penguatkuasaan dalam melaksanakan tugasan,” katanya.

Menurutnya, JKDM akan terus mengorak langkah dalam mempertingkatkan isu keselamatan pintu keluar dan masuk negara bagi memastikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat di negara ini terus terpelihara.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top