Media Prima terima penghargaan Majikan Pesona LINDUNG daripada PERKESO

Media Prima terima penghargaan Majikan Pesona LINDUNG daripada PERKESO

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) menerima penghargaan Majikan Pesona LINDUNG daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atas kecaknaan syarikat berkenaan menjaga kebajikan pekerjanya.

Penghargaan itu disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim kepada Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Nini berkata MPB tidak pernah culas membayar caruman pekerjanya kepada PERKESO kerana pelbagai manfaat disediakan oleh organisasi berkenaan.

“Sebab kita tahu banyak manfaat akan diterima oleh pekerja jika mencarum dengan PERKESO. Disebabkan itu sebagai majikan kita akan pastikan caruman ini dibayar tepat pada masanya dan penuhi segala saranan oleh PERKESO.

“Saya juga gembira mendengar penerangan daripada Menteri mengenai penjenamaan semula LINDUNG ini kerana ia akan memudahkan kita untuk membuat tuntutan selain membuka peluang sama rata kepada sektor lain termasuk pekerja gig dan juga pencarum persendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung di sini, hari ini.

Selain MPB, PERKESO turut memberikan penghargaan berkenaan kepada tujuh majikan lain termasuk dalam kalangan artis kerana tanpa culas membayar caruman, selain membina empayar perniagaan masing-masing.

Ikon yang diberikan penghargaan adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Noor Neelofa Mohd Noor, Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri, Christy Ng serta Aeril dan Wawa Zainal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top