Misi balas dendam Liverpool, isu Isak hangatkan St James' Park

Misi balas dendam Liverpool, isu Isak hangatkan St James' Park

Pertembungan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dengan Newcastle awal pagi esok menjadi tumpuan dan dijangka ‘meletup’ dengan kedua-dua pasukan mahu melepaskan geram di antara satu sama lain.

Bagi Newcastle, perlawanan di St James’ Park peluang terbaik untuk memberikan pengajaran pedih kepada Liverpool yang sehingga berita ini ditulis masih berusaha gigih mendapatkan Alexander Isak sehingga menyebabkan penyerang sensasi mereka itu kekal berpaling arah dan terus berkeras mahu meninggalkan pasukan.

Newcastle bukan sahaja memburu tiga mata pertama selepas hanya seri 0-0 dengan Aston Villa pada perlawanan pertama tetapi juga kemenangan moral untuk menunjukkan betapa tanpa Isak yang tidak beraksi, mereka masih mampu mengatasi skuad kendalian Arne Slot.

Namun The Magpies menyedari berdasarkan rekod, mereka tak pernah menang ke atas Liverpool dalam saingan liga sejak 2015 sehinggalah badi itu berakhir pada final Piala Liga di Wembley, Mac lalu yang dimenangi skuad kendalian Eddie Howe 2-1.

Parut akibat kekalahan itu masih berbekas dan sudah pasti mahu ditebus Mohamed Salah dan rakan sepasukan menerusi persembahan cemerlang di kubu lawan.

Liverpool yang menewaskan Bournemouth 4-2 pada aksi pertama sememangnya tiada alasan untuk gagal berbuat demikian susulan mendapat rehat 10 hari ditambah dengan kemantapan pemain baharu Hugo Ekitike yang meledak gol dan mencipta bantuan jaringan buat Cody Gakpo.

Bagaimanapun, nasib tak menyebelahi seorang lagi pemain baharu Jeremie Frimpong yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan hamstring ketika menentang Bournemouth tetapi sedikit melegakan apabila Conor Bradley kembali cergas dan tersedia sebagai pilihan di posisi bek kanan bersama Joe Gomez dan Wataru Endo.

Liverpool juga mendapat semula khidmat Ryan Gravenberch yang kembali daripada penggantungan dan dijangka tersenarai dalam kesebelasan utama bersama Alexis Mac Allister.

Di sebalik perkembangan positif dalam skuad The Reds menjelang pertembungan di St James’ Park, penyokong mereka agak resah dengan pemilihan pengadil perlawanan kali ini.

Simon Hooper pernah menaikkan kemarahan penyokong Liverpool ketika mengadili perlawanan menentang Tottenham pada September 2023 yang menyaksikan antara keputusan pengadil paling kontroversi dalam sejarah EPL.

Luis Diaz menjaringkan gol yang dibatalkan kerana didakwa ofsaid, walaupun ulang tayang VAR menunjukkan gol itu sepatutnya dibenarkan. Namun, permainan disambung semula dengan sepakan percuma diberikan kepada Tottenham yang akhirnya dimenangi Spurs 2-1. Ia insiden begitu pelik dan kekal sebagai luka dalam kempen Liverpool.

Hooper terus menambah kesengsaraan skuad kendalian Jurgen Klopp ketika itu apabila melayangkan kad merah kepada Diogo Jota dan Curtis Jones dengan layangan kad kepada Jones dianggap paling kontroversi.

Bagaimanapun, untuk pertembungan kali ini, Liverpool pastinya tidak mahu ‘dosa silam’ Hooper terus menghantui mereka ketika menentang Newcastle awal pagi esok sekali gus membolehkan dendam akibat kekalahan pada final Piala Liga dapat dilunaskan oleh Mohamed Salah dan rakan sepasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top