Isu Jalur Gemilang dipasang terbalik sekali lagi jadi perhatian selepas tular di media sosial apabila ia didakwa berlaku di sebuah premis perniagaan.
Dr Akmal minta DAP betulkan sendiri bendera terbalik
Mengulas perkara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam hantarannya di Facebook seolah-olah menyindir agar pemimpin DAP sendiri turun membetulkan bendera berkenaan.
“Minta tolong beritahu pak menteri atau DAP untuk turun dan betulkan sendiri bendera ini.
“Nanti kalau rakyat yang betulkan, kena dakwa (di mahkamah) pula. Kalau pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi hukuman, ada golongan yang tidak berpuas hati pula minta tarik hukuman,” katanya.
Jalur Gemilang dipasang terbalik tindakan kurang ajar
Dr. Akmal turut menegaskan Jalur Gemilang tidak akan dihormati sekiranya tiada tindakan tegas dikenakan terhadap pihak yang beliau anggap kurang ajar.
“Selagi tidak berkeras dan tiada hukuman kepada golongan yang kurang ajar ini, selagi itulah bendera ini tidak akan dihormati.
“Ini negara kita yang perlu dihormati,” katanya lagi.
Sebelum ini, beliau telah mengetuai 500 penyokong UMNO, Bersatu dan PAS dalam perarakan sejauh 1.4 kilometer di Bertam, Kepala Batas sebagai tanda menghormati Jalur Gemilang selepas insiden bendera negara dipasang terbalik di sebuah kedai perkakasan.
Artikel lain: Akmal Saleh terpaksa pendekkan umrah, teguh hadapi pertuduhan demi martabat negara
Susulan daripada itu, beliau telah didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Walau bagaimanapun, ADUN Merlimau tersebut telah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Sumber: Facebook Akmal Saleh