Pegawai PBT gred Jusa B disyaki terima suapan lebih 10 tahun

Pegawai PBT gred Jusa B disyaki terima suapan lebih 10 tahun

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pegawai kanan di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang ditahan bersama dua orang awam kerana disyaki menerima suapan sejak lebih sedekad lalu.

Menurut sumber, lelaki itu berusia lingkungan 50-an berjawatan dengan gred Jusa B ditahan di pejabatnya di sini, hari ini.

Katanya, dua suspek lagi iaitu seorang wanita dan lelaki yang salah satu daripadanya adalah pemilik syarikat ditahan ketika hadir memberi keterangan masing-masing di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya dan SPRM Kuala Lumpur.

“Ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat rasuah sejak 2014 di mana suspek berjawatan pemilik syarikat terbabit dipercayai membayar rasuah kepada pegawai PBT berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan projek di PBT terbabit.

“Susulan tangkapan itu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM150,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton,” katanya.

Menurut sumber, sejumlah 19 akaun bank milik persendirian dan syarikat dibekukan oleh SPRM membabitkan nilai melebihi RM7 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top