
DUA gabungan utama, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan senarai calon masing-masing bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bermula esok.
PH mempertaruhkan calon di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN bertanding di 25 kerusi.
Bagaimanapun, kekurangan 11 kerusi yang tidak ditandingi BN dilengkapi menerusi persefahaman rundingan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN), yang meletakkan calon di kerusi-kerusi berkenaan.
Persefahaman antara BN dan PN itu dijangka memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan berikutan undi Melayu diandaikan tidak lagi berpecah, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk menyaingi calon-calon PH.
Pada PRN 2023, PH memenangi 17 daripada 19 kerusi yang ditandinginya. Daripada jumlah itu, DAP menyumbang 11 kerusi, PKR lima kerusi dan Parti Amanah Negara (Amanah) satu kerusi.
Berdasarkan keputusan tersebut, PH dijangka berdepan cabaran lebih besar untuk mempertahankan empat kerusi majoriti Melayu iaitu Sikamat, Ampangan, Pilah dan Klawang, dengan dua daripadanya dikategorikan sebagai kerusi marginal.
Klawang dimenangi PH dengan majoriti hanya 577 undi manakala Ampangan sekadar 329 undi. Di Sikamat, yang sebelum ini diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau menang dengan majoriti 2,662 undi manakala di Pilah, PH memperoleh majoriti 1,079 undi.
Selain kerusi majoriti Melayu, PH dijangka berdepan saingan sengit di Chennah dan Temiang yang mempunyai komposisi pengundi Melayu dan bukan Melayu yang hampir seimbang.
Di Chennah yang disandang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, pengundi Melayu merangkumi kira-kira 47 peratus daripada keseluruhan pengundi manakala di Temiang pula sebanyak 37.6 peratus.
Sekiranya sokongan pengundi Melayu kukuh kepada calon BN selain berlaku sedikit peralihan undi bukan Melayu kepada gabungan itu, kedua-dua kerusi tersebut berpotensi menyaksikan perubahan keputusan berbanding PRN lalu.
Inilah jangkaan hasil yang diharapkan oleh BN-PN menerusi formula persefahaman yang dicapai di antara mereka. Ia tidak hanya mempertahankan 19 kerusi yang dimenangi sebelum ini malah kerusi-kerusi campuran yang boleh bertukar tangan.
Namun semua jangkaan ini adalah berdasarkan corak pengundian yang lalu memandangkan setiap pilihan raya sudah tentu ia keputusan akan dipengaruhi oleh peratusan keluar mengundi dan juga calon yang ditampilkan.
PRN Negeri Sembilan kali ini dilihat akan menjadi persaingan paling sengit.




