Nak dapat 'tenaga' ketika memandu antara alasan pemandu lori ambil dadah

Nak dapat 'tenaga' ketika memandu antara alasan pemandu lori ambil dadah

am@hmetro.com.my

Butterworth: Alasan mahu mendapatkan ‘tenaga’ ketika memandu menjadi sebab paling kerap diberikan pemandu lori yang didapati mengambil dadah dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, alasan seumpama itu antara yang banyak diterima pihaknya sepanjang menjalankan operasi penguatkuasaan membabitkan kenderaan perdagangan.

“Daripada penguatkuasaan yang kita jalankan, pemandu-pemandu ini memberi alasan untuk dapatkan tenaga yang lebih. Itu alasan yang banyak kita terima,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Op Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan, di sini, malam tadi.

Dalam operasi bermula sejak 1 Julai lalu hingga malam tadi, 121 pemandu kenderaan perdagangan dan persendirian menjalani saringan dadah.

Zulkifly berkata, daripada jumlah itu, 12 individu membabitkan 10 pemandu kenderaan perdagangan dan dua pemandu persendirian warga tempatan berusia antara 40 hingga 50-an. didapati positif dadah.

“Yang paling banyak dikesan (jenis dadah) adalah ketum membabitkan enam pemandu, lima (syabu) dan seorang positif ganja.

“Ini membuktikan masih terdapat segelintir pemandu yang memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah dan keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan keselamatan ribuan pengguna jalan raya setiap hari,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, setiap majikan perlu memastikan pemandu yang digajikan mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Tegasnya, syarikat yang gagal mematuhi syarat pelesenan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) termasuk penggantungan lesen pengendali.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah kerana tindakan itu boleh mengorbankan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Zulkifly berkata, berhubung operasi bersepadu itu, ia dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta PLUS, dengan pemeriksaan memfokuskan lokasi terpilih termasuk plaza tol, stesen penguatkuasaan dan terminal bas bagi membolehkan saringan dilakukan secara menyeluruh terhadap pemandu berisiko tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top