Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan berhubung pelupusan aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai lebih RM860.3 juta bagi tempoh antara 2015 hingga 2017.
Foto: Malay Mail
Memetik laporan Berita Harian, Jamil Khir, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad.
Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa menyebabkan TH melupuskan wang berjumlah RM860,308,770.51, bersamaan SAR766,062,237, kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co Ltd.
Daripada jumlah tersebut, pertuduhan pertama melibatkan pelupusan wang sebanyak RM42,942,074, bersamaan SAR44.17 juta.
Bagi pertuduhan kedua pula, jumlah yang didakwa dilupuskan adalah RM288,172,134.64, bersamaan SAR250,041,622.
Pertuduhan ketiga membabitkan jumlah terbesar iaitu RM529,194,561.87, bersamaan SAR471,848,615.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa berlaku di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Agama, Jabatan Perdana Menteri, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta Kompleks Islam Putrajaya pada 3 April 2015, 14 Disember 2016 dan 17 Ogos 2017.
Pertuduhan terhadap Jamil Khir dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Artikel lain: SPRM pertimbang lantik pakar forensik asing siasat RCI TH -“Kami masih berbincang”
Sekiranya disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, selain sebatan dan denda mengikut peruntukan berkenaan.
Jamil Khir, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Jerai, hadir di kandang tertuduh dengan mengenakan sut berwarna hitam.
Sumber: Berita Harian (Rahmat Khairulrijal and Mohamad Lokman Khairi)

