London: Masa depan Michael Carrick sebagai pengendali Manchester United semakin tidak menentu selepas dia meninggalkan pusat latihan kelab itu, tanpa mendapat sebarang kepastian mengenai kedudukannya.
Carrick dilaporkan berdepan kemungkinan dipecat susulan permulaan buruk United musim ini yang menyaksikan kelab gergasi itu terperosok di zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Prestasi hambar itu menyaksikan United mencatat permulaan terburuk dalam kempen liga sejak 40 tahun lalu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendali berusia 45 tahun berkenaan.
Bagaimanapun, keputusan mengenai nasib Carrick masih belum dimuktamadkan apabila dia meninggalkan sesi latihan semalam tanpa sebarang penjelasan daripada pihak pengurusan.
Sebaliknya, masa depannya bakal ditentukan menerusi mesyuarat di Monaco hari ini, membabitkan pemegang saham berpengaruh, Jim Ratcliffe, ketua eksekutif Omar Berrada dan pengarah bola sepak Jason Wilcox.
Walaupun belum ada keputusan rasmi, laporan menyebut Berrada dan Wilcox cenderung untuk menamatkan khidmat Carrick, dengan Ratcliffe serta keluarga Glazer dijangka menerima cadangan berkenaan.
Jika itu berlaku, United sekali lagi bakal berdepan krisis pengurusan selepas beberapa kali gagal mendapatkan kestabilan di bangku kejurulatihan.
Penyokong United yang sudah lama menyaksikan kemerosotan pasukan sejak kali terakhir menjuarai EPL pada 2013 mungkin merasakan situasi itu seperti deja vu.
Dua tahun lalu, Erik ten Hag turut berdepan spekulasi pemecatan menjelang final Piala FA 2024 menentang Manchester City di Wembley.
Namun, kemenangan mengejut United memaksa Ratcliffe menangguhkan keputusan mengenai masa depan pengendali dari Belanda itu.
Ratcliffe turut mengadakan pertemuan dengan Thomas Tuchel di Monaco ketika pramusim, namun jurulatih dari Jerman itu menolak tawaran untuk mengambil alih United.
Ten Hag akhirnya diberikan lanjutan kontrak setahun sebelum musim 2024-25, tetapi dipecat hanya tiga bulan kemudian selepas keputusan pasukan merosot.
“Pengurusan menjanjikan kesetiaan, sokongan dan komunikasi kepada saya. Namun, mereka tidak menunaikan janji itu,” kata Ten Hag ketika mengulas pemecatannya.
Situasi itu turut memperlihatkan ketidaktentuan dalam pengurusan United, termasuk nasib bekas pengarah sukan, Dan Ashworth yang hanya bertahan lima bulan selepas meninggalkan Newcastle United sebelum berpisah dengan kelab itu secara persetujuan bersama pada 2024.
Ashworth dilaporkan tidak sependapat dengan keputusan melantik Ruben Amorim sebagai pengganti Ten Hag.
Amorim pula hanya bertahan selama 14 bulan sebelum berpisah dengan United pada Januari tahun ini selepas hubungan dengan pihak pengurusan semakin tegang.
Carrick kemudian mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara dan pendekatan lebih sederhana pada awalnya memberikan suasana berbeza berbanding era Amorim.
Beliau berjaya membantu United layak ke Liga Juara-Juara sebelum diberikan kontrak tetap.
© New Straits Times Press (M) Bhd