London: Pemilihan Cristiano Ronaldo Jr ke dalam skuad bawah 17 tahun Portugal tepat pada masanya, hanya seminggu selepas bapanya menamatkan karier antarabangsa yang gemilang.
Baca juga: JAC T9, trak pikap PHEV pertama CKD
Anak sulung Ronaldo itu mengembangkan bakat menerusi akademi kelab Arab Saudi, Al Nassr, tempat bapanya beraksi sejak tahun 2023.
Kemunculan pemain berusia 16 tahun itu turut mengundang perbandingan dengan perjalanan karier bapanya.
Dengan ketinggian 1.91 meter, penyerang itu sudah mengatasi ketinggian bapanya dan mewarisi naluri sama untuk memburu jaringan.
Namun, Ronaldo Jr berdepan cabaran besar untuk menyamai pencapaian bapanya.
Ronaldo membuat penampilan sulung bersama skuad senior Portugal ketika berusia 18 tahun pada tahun 2003 dan seterusnya menjaringkan 146 gol dalam 234 penampilan.
Anaknya pula berharap dapat mencipta nama dalam aksi kelayakan Kejohanan Bawah 17 Tahun UEFA menentang Andorra malam ini, diikuti perlawanan menentang Bulgaria dan Serbia.
Dia bukan anak legenda bola sepak pertama yang memulakan perjalanan sendiri dalam sukan itu.
Ada yang bergelut untuk keluar daripada bayangan ibu bapa terkenal, manakala sebahagian lagi berjaya membina karier tersendiri.
Berikut antara dinasti keluarga paling terkenal dalam bola sepak.
Cesre, Paolo dan Daniel Maldini
Paolo Maldini dianggap antara pertahanan terbaik sepanjang zaman selepas menghabiskan seluruh kariernya bersama AC Milan dan meraih lebih 100 penampilan bersama Itali.
Bapanya, Cesare, turut menyarung jersi Milan, manakala anaknya, Daniel, pemain tengah yang kini beraksi bersama Cagliari, sudah sembilan kali mewakili Azzurri.
Johan dan Jordi Cruyff
Menjadi anak kepada maestro tengah Belanda itu bukan tugas mudah buat Jordi.
Meskipun tidak mencapai tahap sama seperti bapanya, dia menikmati karier cemerlang termasuk beraksi bersama Barcelona ketika bapanya menjadi pengendali dan Manchester United.
Diego dan Giuliano Simeone
Diego membuat lebih 100 penampilan bersama Argentina sebagai pemain tengah yang terkenal dengan semangat juang tinggi.
Dia turut mempunyai dua tempoh beraksi bersama Atletico Madrid, kelab yang dikendalikannya sejak tahun 2011.
Giuliano, yang mempunyai dua abang, Giovanni dan Gianluca, juga bergelar pemain bola sepak profesional, membentuk gaya permainannya berdasarkan keperibadian bapanya dengan kelebihan dari segi daya saing.
Dia kini beraksi sebagai penyerang Atletico dan menjadi sebahagian daripada skuad Argentina ke Piala Dunia 2026.
George dan Timothy Weah
George, antara pemain Afrika terhebat sepanjang zaman, ialah bekas penyerang Liberia dan pemenang Ballon d’Or 1995 yang mencipta nama bersama Maldini di AC Milan.
Timothy yang dilahirkan di New York menyertai Marseille secara pinjaman daripada Juventus tahun lalu dengan kewajipan untuk membeli.
Dia juga menjadi sebahagian daripada skuad Amerika Syarikat sejak tahun 2018.
Alif-Inge dan Erling Haaland
Haaland senior ialah pemain tengah Norway yang terkenal dengan gaya permainan keras dan mendapat perhatian peminat di England ketika beraksi bersama Nottingham Forest, Leeds United serta Manchester City.
Namun, anaknya mengatasi pencapaian itu apabila muncul antara penyerang paling prolifik dunia, selain memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris sejak menyertai Manchester City dari Borussia Dortmund pada tahun 2022.
Haaland Jr sudah menjaringkan 121 gol dalam 142 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama City.
Peter dan Kasper Schmeichel
Peter dianggap antara penjaga gol terhebat Manchester United selepas memenangi lima gelaran EPL.
Dia turut membantu Denmark menjuarai Kejohanan Eropah 1992.
Kasper turut menjadi penjaga gol utama Denmark, manakala kemuncak karier kelabnya hadir ketika membantu Leicester City menjuarai EPL secara mengejut pada tahun 2016.
Lilian dan Marcus Thuram
Lilian menjadi benteng pertahanan kukuh dalam skuad Perancis yang menjuarai Piala Dunia 1998.
Marcus kini beraksi sebagai penyerang Inter Milan selepas mencipta nama bersama Borussia Monchengladbach.
Dia turut menjadi sebahagian daripada skuad Perancis ke Piala Dunia 2022 dan 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd