mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Soffi Jikan, 54, dipindahkan ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, kelmarin selepas doktor mengesan terdapat jangkitan kuman pada bahagian jantungnya.
Sebelum itu sejak awal bulan lalu, Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh akibat jangkitan kuman pada hati.
Soffi yang juga pelakon filem KL Gangster ini ketika dihubungi berkata, dia tenang berdepan situasi ini dan akan menjalani rawatan seperti ditetapkan doktor.
“Ia memang jangkitan kuman dekat jantung. Doktor akan bagi antibiotik. Sekarang ini saya kena bersedia untuk pembedahan sekiranya antibiotik itu tak jalan (berkesan).
“Ini kerana kuman itu akan membiak. Dia macam parasit, jadi memang kena buanglah. Di Hospital Sungai Buloh tiada rawatan ini.
“Kita masih buat rawatan antibiotik lagi. Peluang pembedahan itu tinggilah. Semua kita masih berharap antibiotik itu berkesan. Jadi kita semua doa sajalah,” katanya kepada Harian Metro.
Soffi berkata, dia sukar bercerita lanjut perkembangan penyakitnya kerana doktor masih meneliti apa punca sebenarnya.
“Ia ada kemajuannya, ia belum 100 peratus. Tapi kalau ikut sekarang ni memang peluang dia 50-50. Tapi kita tak boleh sahkan apa-apa. Belum sah,” katanya.
Mengulas lanjut Soffi berkata, kuman ini hanya dikesan selepas dia menjalani proses pemeriksaan echo jantung.
“Benda ini kita yang kesan dia. Biasanya orang dah sakit teruk baru kita tahu ada jangkitan kuman. Proses echo itu macam ultrasound, jadi kita boleh nampak.
“Kita kesan dia (kuman) dulu. Jadi, maksudnya belum kritikallah kita kesan dia. Antibiotiklah caranya untuk atas tapi akan ambil masa.
“Masih baru kan. Macam hari ini (semalam) doktor check macam ada kurang sikit. Jadi macam adalah harapan. Tapi kalau doktor cerita, memang mereka buat persediaan untuk bedah,” katanya yang menyerahkan perkara ini kepada ketentuan Allah.
Soffi masih berharap antibiotik dapat menyembuhkannya tanpa perlu menjalani pembedahan.
Terdahulu, sebelum ini Soffi mulanya dirawat akibat terkena jangkitan kencing tikus dan demam denggi.
Selepas dirawat selama enam hari dan dibenarkan pulang, dia sekali lagi ditahan di wad susulan mengalami sakit dada dipercayai akibat jangkitan kuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd