Panglima Tentera Udara terajui persembahan udara Hari Kebangsaan

Panglima Tentera Udara terajui persembahan udara Hari Kebangsaan

mhafis@mediaprima.com.my

Subang Jaya: Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris akan terbabit dalam segmen persembahan udara dengan menerbangkan pesawat pejuang Su-30MKM.

Muhamad Norazlan bersama juruterbang dan anak kapal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memulakan persiapan dan latihan penerbangan hari ini bagi menjayakan segmen persembahan udara sempena sambutan tahun ini di Dataran Putrajaya.

TUDM berkata, aset udara yang turut serta adalah daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, pada tahun ini, sebanyak 30 aset udara bakal menggegarkan ruang udara Putrajaya yang terdiri daripada pesawat pejuang, pesawat pengangkut dan helikopter daripada semua agensi.

“Pembabitan Panglima Tentera Udara dalam persembahan udara ini mencerminkan semangat kepimpinan beliau untuk berada di barisan hadapan bersama perwiranya, sekali gus menjadi lambang kekuatan sebuah pasukan.

“Sambutan Hari Kebangsaan 2025 membawa tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, dan kali ini semangat itu diterjemahkan melalui deruman enjin, kibaran Jalur Gemilang, serta keberanian yang menjulang tinggi di angkasa raya oleh ATM dan agensi-agensi keselamatan serta pertahanan yang lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, TUDM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, bersama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos 2025 nanti dan ambillah peluang untuk merakam detik bersejarah ini bersama keluarga tercinta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top