Tiga bintang besar digugurkan dari skuad England

Tiga bintang besar digugurkan dari skuad England

TIADA tempat untuk Trent Alexander-Arnold, Jack Grealish dan Harry Maguire.

Itulah kejutan besar diumumkan pengendali England, Thomas Tuchel, apabila mengumumkan senarai pemain bagi dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026.

Sebaliknya, Tuchel memberi peluang kepada dua muka baharu pemain tengah Nottingham Forest, Elliot Anderson, dan pertahanan Tottenham Hotspur, Djed Spence selepas kedua-duanya mempamerkan prestasi meyakinkan pada awal musim ini.

Penyerang Barcelona, Marcus Rashford, turut kembali disenaraikan manakala tonggak pertahanan Manchester City, John Stones, kembali memperkuatkan pasukan selepas pulih daripada kecederaan panjang.

Bagaimanapun, beberapa nama besar diketepikan, antaranya Grealish yang dipinjamkan Manchester City ke Everton, kapten Manchester United Harry Maguire, bek kanan Burnley Kyle Walker serta penyerang Al-Ahli, Ivan Toney.

England ketika ini mengungguli Kumpulan K dengan sembilan mata maksimum hasil kemenangan ke atas Albania, Latvia dan Andorra dalam tiga perlawanan awal.

Pasukan kendalian Tuchel itu akan menentang Andorra di Villa Park pada 6 September sebelum bertandang ke Belgrade bertemu Serbia pada 9 September.

Alexander-Arnold, 26, yang kini bersama Real Madrid, sedang bergelut menyesuaikan diri dalam saingan La Liga selepas hilang tempat utama kepada Dani Carvajal minggu lalu.

Dalam saingan kumpulan, Albania berada di tangga kedua dengan lima mata daripada empat perlawanan, diikuti Serbia dan Latvia (empat mata) manakala Andorra kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Tuchel dijadualkan mengadakan sidang media di Stadium Wembley pada Jumaat bagi menjelaskan pilihannya. England, naib juara Euro 2024, berazam untuk menempah tiket automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Skuad England

Penjaga Gol: Dean Henderson, Jordan Pickford, James Trafford

Pertahanan: Dan Burn, Marc Guehi, Reece James, Ezri Konsa, Myles Lewis-Skelly, Tino Livramento, Djed Spence, John Stones

Tengah: Elliot Anderson, Morgan Gibbs-White, Jordan Henderson, Declan Rice, Morgan Rogers, Adam Wharton

Penyerang: Jarrod Bowen, Eberechi Eze, Anthony Gordon, Harry Kane, Noni Madueke, Marcus Rashford, Ollie Watkins

Scroll to Top