Air mata Vozinha berakhir dengan senyuman

Air mata Vozinha berakhir dengan senyuman

Miami: Penjaga gol Cape Verde, Vozinha akhirnya menerima berita yang paling dinantikan apabila ibunya diberikan visa untuk ke Amerika Syarikat (AS) bagi menyaksikan aksi anaknya itu di Piala Dunia 2026.

Perkembangan itu hadir hanya beberapa hari selepas pemain berusia 40 tahun itu meluahkan rasa sedih apabila ibunya, Ana Candida Evora gagal menyaksikan persembahan cemerlangnya ketika Cape Verde mengikat juara Eropah, Sepanyol, 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

Vozinha muncul wira pasukan apabila menafikan tujuh percubaan lawan untuk membantu Cape Verde meraih satu mata berharga dalam keputusan yang dianggap antara kejutan terbesar kejohanan setakat ini.

Namun kegembiraannya tidak lengkap apabila mendedahkan ibunya tidak dapat hadir ke stadium akibat masalah visa.

Pendedahan penuh emosi itu kemudian tular di media sosial sebelum mendapat perhatian Jabatan Negara AS.

Menurut pegawai jabatan berkenaan, pasukan visa mereka di Praia berhubung rapat dengan Evora dan membantu menyelesaikan segala urusan yang diperlukan sebelum permohonannya diluluskan.

“Selaras dengan semua dasar, prosedur dan piawaian yang ditetapkan, segala urusan perjalanan untuk menyaksikan perlawanan itu diteruskan,” kata seorang pegawai Jabatan Negara AS.

Dengan kelulusan berkenaan, Evora kini berpeluang menyaksikan anaknya beraksi secara langsung apabila Cape Verde menentang Uruguay dalam perlawanan kedua Kumpulan H di Miami, Isnin ini.

Sebelum ini, Evora terpaksa melupakan hasrat untuk ke Atlanta bagi menyaksikan perlawanan pembukaan kerana kos perjalanan yang tinggi serta syarat kemasukan yang dikenakan terhadap rakyat Cape Verde.

Negara kepulauan Afrika itu termasuk dalam senarai beberapa negara yang rakyatnya perlu menyediakan bon sehingga AS$15,000 (RM61,767) untuk memasuki AS susulan dasar imigresen yang diperketatkan oleh pentadbiran Presiden, Donald Trump.

Bagaimanapun, syarat berkenaan kemudiannya dikecualikan kepada pemegang tiket Piala Dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top