Pemain import baharu julang Sri Pahang

Pemain import baharu julang Sri Pahang

IPOH: Sri Pahang akhirnya berjaya keluar dari zon bahaya apabila mencipta kemenangan 3-2 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh, sebentar tadi.

Pemain import baharu Sri Pahang, Aung Kaung Mann meletakkan skuad itu di depan pada minit ke-34 hasil percubaan jarak dekat selepas berlaku kelab kabut di dalam kotak penalti.

Seorang lagi awang import yang baharu dibawa masuk Tok Gajah, Kenjok Wal Athiu juga berjaya mencetak nama selaku penjaring apabila meledak gol kedua pada minit ke-58.

Perak yang berdepan krisis dalaman merapatkan jurang 10 minit kemudian menerusi sepakan penalti Leandro Dos Santos selepas Shakir Hamzah dijatuhkan pertahanan Sri Pahang.

Athiu bagaimanapun menambah gol ketiga buat skuad bimbingan Dollah Salleh apabila menanduk masuk bola umpanan Nor Azam Azih ketika perlawanan berbaki dua minit.

Perak berjaya menambah gol pada masa kecederaan menerusi Careca, namun sudah terlambat untuk sekurang-kurangnya menamatkan perlawanan dengan keputusan seri.

Kekalahan itu menyaksikan penyokong The Bos Gaurus yang tidak berpuas hati membaling suar ke dalam padang pada minit-minit akhir perlawanan.

Keputusan itu juga menyaksikan Sri Pahang naik dua tangga ke kedudukan kesembilan, berkongsi 12 mata bersama Perak yang menghuni tempat ke-10.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top