Kuala Lumpur: Penonton terhibur dan ‘hanyut’ dalam malam penuh muzik, tarian dan magis Disney menerusi persembahan malam pertama Disney Jr Live On Tour : Let’s Play! di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands, malam kelmarin.
Dalam persembahan itu, penonton dibawa menyelami dunia imaginasi, gelak tawa dan hiburan interaktif yang meninggalkan kenangan manis buat kanak-kanak serta ibu bapa.
Penerbitnya, Jonathan Shank dari Terrapin Station Entertainment berkata, pihaknya amat berbesar hati
melihat keluarga di Malaysia merasai keajaiban Disney Jr Live On Tour: Let’s Play! ini.
“Suasana penuh keterujaan di Arena of Stars sangat luar biasa. Kami bangga dapat mencipta detik bermakna yang akan dikenang oleh kanak-kanak untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Persembahan anjuran Unusual Entertainment dan Lo-Fi Entertainment ini adalah satu perayaan penceritaan dan imaginasi yang sekali lagi mengukuhkan magis abadi Disney untuk generasi baharu.
Persembahan tiga hari ini bermula kelmarin dan persembahan terakhir akan berlangsung esok.
Ia bermula dengan persembahan bertenaga DJ Disney Junior yang segera membangkitkan suasana. Peminat cilik bersorak girang apabila watak utama Disney, Mickey Mouse membuat kemunculan istimewa di atas pentas, sekali gus membuka tirai persembahan.
Persembahan terus meriah merangkumi nyanyian, tarian, permainan dan belon. Setiap segmen memperkenalkan watak Disney berbeza antaranya Goofy, Ariel the Little Mermaid, SuperKitties
dan banyak lagi.
Minnie Mouse menerima sorakan paling kuat apabila muncul dalam segmen belon, menambahkan lagi kemeriahan malam itu.
Pentas kemudian dihangatkan dengan kemunculan paling dinantikan pada malam itu iaitu Spider-Man.
Watak adiwira ikonik itu meluncur masuk ke pentas, memukau penonton dan melengkapkan sesi ‘playdate’ yang penuh magis.
Setiap lagu, tarian dan kesan khas membuatkan kanak-kanak terpaku di tempat duduk mereka, malah ibu bapa turut sama menyanyi dan bertepuk tangan mengikut rentak.
Ia benar-benar menyerlahkan semangat Disney Jr yang penuh dengan muzik, persahabatan dan
pengembaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




