RCB himpun 80 penunggang motosikal dalam Track Day pertama

RCB himpun 80 penunggang motosikal dalam Track Day pertama

Kuala Lumpur: Seramai 80 penggemar motosikal daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang menyertai RCB Track Day yang julung kali dianjurkan sebagai platform meningkatkan kemahiran tunggangan dalam suasana selamat dan terkawal.

Program anjuran RCB itu menghimpunkan peserta berusia antara sembilan hingga 40 tahun yang berpeluang merasai pengalaman menunggang di litar sambil menambah ilmu berkaitan teknik tunggangan dan aspek keselamatan.

Selain sesi tunggangan di litar, peserta turut mengikuti sesi bimbingan asas yang dikendalikan bekas pelumba negara, Ibrahim Norrodin.

Sesi berkenaan memberi pendedahan kepada peserta, terutama mereka yang pertama kali menunggang di litar, mengenai teknik asas tunggangan, kawalan motosikal dan prosedur keselamatan yang perlu dipatuhi.

Acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pelumba profesional negara, Kasma Daniel Kasmayudin dan Nazirul Izzat Baharuddin yang berkongsi pengalaman serta perjalanan karier mereka dalam arena perlumbaan.

Kedua-dua pelumba berkenaan turut menggunakan kesempatan itu untuk bertemu peminat sebelum berlepas ke Jepun bagi menghadapi pusingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) hujung minggu depan.

Pengurus Besar Jenama RCB, Marcus Leong berkata, penganjuran Track Day adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti motosikal tempatan.

“RCB Track Day dianjurkan sebagai platform untuk komuniti penunggang motosikal meningkatkan kemahiran mereka di litar dalam persekitaran yang selamat dan profesional.

“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan membuktikan komuniti penunggang sentiasa dahagakan program yang memberi nilai tambah kepada mereka,” katanya.

Menurut beliau, maklum balas diterima daripada peserta juga sangat positif dengan ramai berharap program berkenaan dapat diteruskan secara berkala.

RCB kini menilai kemungkinan menjadikan Track Day sebagai acara tahunan atau siri berkala dengan penganjuran tiga hingga empat kali setahun.

Langkah itu dilihat mampu membantu melahirkan lebih ramai penunggang yang berkemahiran, berdisiplin serta memahami aspek keselamatan ketika menunggang, sekali gus menyumbang kepada pembangunan komuniti permotoran negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top