sukan@hmetro.com.my
Georgetown: Pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail menyifatkan persembahan anak buahnya ibarat memiliki ‘dua watak berbeza’ ketika tewas tipis 0-1 kepada Kelantan The Real Warriors dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, watak pertama merujuk kepada permulaan pasukan yang kemas dan terancang, namun ia diranapkan kesilapan individu yang menjejaskan emosi dan rentak pemain, sebelum mereka mengubah karakter berjuang bermati-matian biarpun gagal membuahkan hasil.
“Saya boleh simpulkan ada dua watak berbeza iaitu segala-galanya lancar sehinggalah berlaku kesilapan individu memberi kelebihan awal kepada Kelantan untuk mendahului dan selang beberapa minit kita dihukum pula dengan satu kad merah pada separuh masa pertama.
“Tetapi kita boleh lihat, selepas beberapa pertukaran pemain dan strategi, mereka memberi segala termampu malah berupaya mencipta peluang menjaringkan gol hingga minit-minit terakhir namun gagal disudahkan atau dapat diselamatkan penjaga gol lawan.
“Bagi saya 45 minit pada separuh masa kedua, saya tabik pemain walaupun kekurangan seorang pemain serta ketinggalan satu gol, mereka berusaha bermati-matian dan percaya masih boleh bangkit tetapi tiada rezeki kami,” katanya selepas perlawanan itu.
Dalam pada itu, mengulas prestasi dua import baharu, Obilor Friday dan OJ Porteria yang turut diturunkan semalam, Wan Rohaimi berkata, beliau berpuas hati dengan sumbangan awal mereka selain melihat kedua-duanya telah mempamerkan kualiti permainan yang positif.
“Obilor baru semalam menyertai latihan bersama pasukan daripada sudut tenaga dalam tempoh 45 minit yang disumbangkan saya berpuas hati cuma dia menghadapi sedikit kesakitan di paha jadi saya terpaksa mengeluarkan dia pada masa kedua.
© New Straits Times Press (M) Bhd