Kuala Lumpur: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) mengesyorkan amalan pemberian bonus yang terlalu tinggi kepada kakitangan hendaklah dihentikan.
“Usaha perlu dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada Ahli Lembaga dan Pengurusan TH Properties, memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut RCI dalam laporan yang didedahkan, hari ini.
Selain itu, RCI turut mengesyorkan pembabitan anggota Lembaga dan Pengurusan TH dalam pengurusan anak-anak syarikat LTH hendaklah dihadkan.
“Ini bertujuan memastikan mereka dapat memberi fokus kepada tanggungjawab di LTH, sekali gus mengelak konflik kepentingan.
“BNM tidak seharusnya mengawal selia LTH. Jika pengawalseliaan ini masih diperlukan, maka ia hendaklah dihadkan kepada kawalan rizab, dan pengurusan kecairan.
“Bagaimanapun, pengawalseliaan di atas tidak harus tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Akta 759), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (Akta 618),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




