Pasangan dituduh khalwat ke penjara, gagal bayar jaminan

Pasangan dituduh khalwat ke penjara, gagal bayar jaminan

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sepasang kekasih terpaksa meringkuk dalam penjara kerana gagal membayar jaminan ditetapkan Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini susulan tuduhan berkhalwat dihadapi mereka.

Tertuduh, Mohd Azlan Hamzah @ Husaini, 43, dan pasangannya Susilawati, 31, warga Indonesia, didakwa berkhalwat dalam bilik hotel di Jalan Wong Ah Jang pada 3.50 pagi hari ini, dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 32 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-dua sekali.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Mohd Fahmi Abdul Jalil, pasangan itu dibenar ikat jamin masing-masing RM1,500 dengan seorang penjamin.

Namun kedua-duanya gagal membayar jaminan itu dan Mohd Azlan dihantar ke Penjara Penor, manakala Susilawati ditahan di Penjara Bentong sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Sept.

Sementara itu, di mahkamah sama juga, pasangan Mohd Sabri Jusoh, 38, dan warga Indonesia, Yosi Rahmatika, 35, didenda RM1,500 dan RM2,000 selepas mengaku salah atas tuduhan sama.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Datuk Lim Hoe Lek pada 4.25 pagi 31 Ogos 2025. Mereka membayar denda berkenaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Syarie Hairul Fitri Hamzah, manakala semua pasangan tidak diwakili peguam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top