sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Terima kasih Tuhan kerana bantu kami dan akhirnya kami dapat juga (juara dunia).”
Itulah luahan penuh kesyukuran dan sebak oleh pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei yang seakan-akan tidak percaya meraih kejuaraan sulung di Kejohanan Dunia dekat Paris, hari ini.
Bagi Ee Wei, dia sedar ia bukan perjalanan yang mudah selepas dia dan Chen Tang Jie mengharungi pelbagai cabaran termasuk terpaksa ‘bercerai’ seketika sebelum ‘rujuk semula’ atas beberapa isu yang terjadi antara mereka.
“Sebelum ini ramai orang tidak percaya kepada kami dan tidak ramai bersama kami. Terima kasih kepada yang terus kekal percaya biarpun prestasi kami tidak menentu.
“Terima kasih Tuhan kerana bantu kami dan akhirnya kami dapat juga (juara dunia),” katanya.
Tambahnya, kejayaan itu adalah detik yang cukup manis kerana hadir tepat pada tarikh keramat buat negara.
“Ia sangat bermakna bagi kami kerana ini adalah Kejohanan Dunia, dan kami memenanginya pada Hari Kemerdekaan. Sokongan padu daripada peminat Malaysia di stadium turut membuatkan kami rasa bertenaga,” kata Ee Wei.
Sementara itu, Tang Jie juga sukar menahan kesedihan apabila menyatakan kemenangan ini adalah satu penghormatan yang cukup besar.
“Mental kami dan persediaan untuk perlawanan ini sangat jelas. Kami tidak berfikir tentang kemungkinan menang atau kalah. Kami hanya cuba fokus pada perlawanan dan menikmati setiap saat.
“Saya tidak boleh ungkapkan apa yang saya rasa sekarang, tetapi saya sangat gembira. Apabila orang lain boleh memanggil kami juara dunia, ia sesuatu yang sangat bermakna bagi setiap pemain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
