Gilap potensi diri

Gilap potensi diri

Suliati Asri

suliati@hmetro.com.my

Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan 2025 sekali lagi menjadi platform penting.

Ia memberi peluang sama rata kepada murid Orang Asli dan Peribumi untuk memperkaya pengalaman bahasa, sastera dan budaya, di samping menggilap bakat kepimpinan serta kreativiti mereka.

Penganjuran program itu juga bukti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa memberikan sokongan dan peluang kepada murid Orang Asli dan Peribumi untuk meningkatkan pembabitan dalam kurikulum dan kokurikulum, seiring fokus tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM.

Berlangsung tiga hari bermula 25 hingga 27 Ogos lalu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), karnival ini menghimpunkan 98 sekolah rendah Orang Asli, 23 sekolah Peribumi dan 65 Sekolah Menengah Acceptor dari sembilan negeri.

Ia turut membabitkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih Kuala Lumpur (SBJKL) yang keseluruhannya membabitkan 187 murid di peringkat kebangsaan dan 1,440 murid di peringkat negeri.

Untuk edisi kali ini, Perak muncul sebagai johan keseluruhan, menewaskan penyertaan negeri lain menerusi persembahan cemerlang murid mereka dalam pelbagai acara.

Kemenangan itu membuktikan bakat dan daya saing murid minoriti mampu diketengahkan ke peringkat arus perdana.

Diperkenalkan pada 2023, karnival ini adalah salah satu usaha strategik KPM di bawah Inisiatif #57: Transformasi Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi.

Sejak itu, ia menjadi platform bersepadu bagi memperkasa potensi murid Orang Asli dan Peribumi dalam akademik, kokurikulum, sahsiah serta pembinaan jati diri.

Ia juga bertujuan menggalakkan kolaborasi antara agensi kerajaan dan swasta dalam menjayakan aspirasi pendidikan untuk murid minoriti khususnya Orang Asli dan Peribumi (Dusun Bonggi dan Penan).

Tahun ini, karnival ini bertemakan teras pemerkasaan potensi murid melalui pembabitan pelbagai pihak, dengan penekanan kepada pembangunan insan secara holistik, pemantapan bahasa dan sastera kebangsaan melalui pembabitan DBP, nilai karamah insaniah dan pendedahan kepada teknologi dan inovasi.

Istimewanya, penganjuran karnival kali ini turut menampilkan beberapa elemen baharu.

Antaranya ialah pemilihan lokasi berprestij iaitu di DBP bukan sekadar ruang acara, tetapi menzahirkan aspirasi memperkukuh jati diri bahasa kebangsaan.

Penyertaan lebih inklusif dengan pembabitan Sekolah Menengah Acceptor dan SBJKL serta rakan sinergi yang pelbagai merangkumi agensi kerajaan, korporat, yayasan dan pertubuhan badan bukan kerajaan.

Dari segi pertandingan, diketengahkan pelbagai kategori yang lebih komprehensif seperti nyanyian solo dan duet (Bahasa Melayu/Inggeris), pidato kenegaraan, pengucapan awam, deklamasi sajak, saintis muda, robotik, tarian seni kreatif serta kajian tindakan guru bagi amalan terbaik pengetua dan guru besar.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Turut hadir Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, wakil Jabatan Pendidikan Negeri dan rakan strategik antaranya Yayasan Guru Tun Hussein Onn, Yayasan Didik Negara, Petrosains, IIUM Makers, Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), Yayasan Johor Corporation, Pointray (MSIA) Sdn Bhd, Syarikat Majutera, Jabatan Pengajian Tinggi Belia dan Sukan Negeri Perak dan Yayasan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top