Pengawal keselamatan cedera dipukul lelaki baran dengan bata

Pengawal keselamatan cedera dipukul lelaki baran dengan bata

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Berang tidak dibenar masuk kerana tiada kad akses, seorang lelaki memukul pengawal keselamatan menggunakan batu bata di sebuah pangsapuri di Gelang Patah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian pada 2.59 petang itu menyebabkan mangsa iaitu lelaki warga Nepal berusia 44 tahun cedera di kepala.

Katanya, susulan kejadian, polis menahan suspek di kawasan Iskandar Puteri pada 12.01 tengah malam tadi.

“Dalam laporan dibuat, mangsa mendakwa ketika sedang bekerja, dia menahan suspek (lelaki tempatan) berusia 37 tahun yang tiada kad akses ketika cuba masuk melalui lorong pelawat pangsapuri dengan menunggang motosikal.

“Suspek tidak puas hati dengan tindakan itu dan didakwa mengambil seketul batu bata lalu mengetuk kepala mangsa sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Kumarasan, suspek kini ditahan reman empat hari hingga 4 September untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan Kumarasan berkata, pihaknya berjaya menahan lelaki yang disyaki terbabit kes kecurian televisyen di sebuah pasar raya di Mutiara Rini, di sini.

Katanya, laporan kecurian dibuat penyelia keselamatan pasar raya pada 7.59 malam, Rabu lalu dan suspek berusia 33 tahun ditahan di kawasan Tampoi pada 12.15 tengah malam tadi.

Menurutnya, suspek yang mempunyai 10 rekod kesalahan lampau kini direman empat hari hingga 4 September untuk siasatan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top