Belgium akan iktiraf Negara Palestin

Belgium akan iktiraf Negara Palestin

Brussels: Belgium akan mengiktiraf Negara Palestin semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September ini, umum Menteri Luarnya pada Selasa.

“Palestin akan diiktiraf oleh Belgium pada sesi PBB dan sekatan tegas sedang dikenakan terhadap kerajaan Israel,” tulis Menteri Luar, Maxime Prevot, di platform X.

Julai lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, negaranya akan mengiktiraf negara Palestin dalam mesyuarat PBB yang akan berlangsung dari 9 hingga 23 September di New York.

Sejak itu, lebih sedozen negara Barat lain menyeru negara-negara lain untuk melakukan perkara sama.

Prevot berkata, keputusan itu dibuat “berikutan tragedi kemanusiaan” yang berlaku di Gaza, di mana serangan Israel menyebabkan sebahagian besar penduduk kehilangan tempat tinggal sekurang-kurangnya sekali dan PBB mengisytiharkan berlakunya kebuluran.

“Dalam menghadapi keganasan yang dilakukan oleh Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa, serta mengambil kira kewajipan antarabangsanya, termasuk tugas untuk mencegah sebarang risiko genosid, Belgium terpaksa mengambil keputusan tegas untuk meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Israel dan pengganas Hamas,” tulis Prevot.

“Ini bukan soal menghukum rakyat Israel, sebaliknya untuk memastikan kerajaannya menghormati undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan serta mengambil tindakan untuk cuba mengubah keadaan di lapangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top