harisfadli@hmetro.com.my
Sepang: Sanggup melacurkan diri demi pendapatan lumayan berbanding melakukan kerja halal untuk menyara empat anak di kampung.
Itu pengakuan Agnes, 30, salah seorang daripada sembilan wanita warga asing yang ditahan menerusi Op Noda oleh Bahagian Maksiat, Perjudian, dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, di tiga lokasi berbeza semalam.
Ketika serbuan, wanita berasal dari Medan, Indonesia itu ditahan bersama pelanggan dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Cyberjaya di sini, yang dijadikan sarang maksiat sejak Mac lalu.
“Saya terpaksa buat kerja ini sebab saya janda ada empat anak. Saya perlu hantar wang balik ke kampung untuk bayar pengasuh anak setiap bulan.
“Anak-anak saya semua masih kecil dijaga pengasuh sebab saya anak yatim, tidak ada keluarga,” katanya yang mendakwa masuk ke negara ini awal tahun ini.
Dalam serbuan sama seorang lagi wanita Indonesia berusia 30 tahun turut ditahan di premis terbabit yang memberi alasan melakukan kerja tidak bermoral itu untuk membiayai kos pengajian di universiti.
Dia mendakwa melayan seramai tiga pelanggan sehari dengan bayaran RM100 untuk seorang pelanggan bagi menampung perbelanjaan harian dan pengajian.
Difahamkan kedua-dua wanita terbabit menawarkan kegiatan tidak bermoral itu melalui media sosial selain menggunakan perkhidmatan orang tengah untuk mencari pelanggan.
Kedua-dua wanita terbabit mendakwa menyewa premis pangsapuri dua bilik terbabit pada harga RM100 sehari dan lazimnya menetap di lokasi sama selama beberapa bulan.
Sementara itu, sumber polis berkata serbuan ke atas empat premis itu membabitkan kegiatan pelacuran secara persendirian di sekitar daerah Sepang, Petaling Jaya dan Serdang.
Katanya, polis turut menahan seorang lelaki tempatan disyaki berperanan sebagai transporter kepada pelacur warga asing dalam serbuan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
“Keseluruhan seramai lapan wanita warga asing iaitu lima warga Indonesia dan tiga wanita Thailand disyaki menawarkan perkhidmatan seks ditahan manakala seorang lelaki tempatan ditahan memiliki empat rekod jenayah lampau.
“Modus operandi wanita-wanita terbabit adalah menggunakan aplikasi sembang dan media sosial bagi mencari pelanggan. Perkhidmatan ditawarkan pada harga bermula RM150 hingga RM530 sejam,” katanya.
Katanya, antara kesalahan dikesan termasuk di bawah 372B Kanun Keseksaan, 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan serbuan bagi membantu siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




