Zahid nafi hubungan dengan Anwar tegang

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan portal berita antarabangsa bahawa hubungannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin tegang.

Ahmad Zahid berkata, tiada sebarang masalah sama ada dari segi hubungan peribadi mahupun rasmi antara beliau dengan Anwar, termasuk ketika menghadiri mesyuarat Kabinet.

Katanya, Barisan Nasional (BN) sebagai salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan terus mengutamakan kestabilan politik negara sehingga tamat tempoh pemerintahan.

Katanya, proses membuat keputusan dalam kerajaan dilakukan secara profesional bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.

“Yang penting bagi BN sebagai salah sebuah komponen di dalam Kerajaan Perpaduan adalah kestabilan politik di negara ini sehingga akhir penggal.

“Kami melakukan proses membuat keputusan dan mencapai keputusan secara profesional,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kestabilan politik penting bagi mengelakkan sebarang permasalahan terutama membabitkan keyakinan pelabur asing serta usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita tahu bahawa resolusi Perhimpunan Agung UMNO telah menetapkan bahawa kita berada dalam Kerajaan Perpaduan ini hingga tamat tempoh dan ini yang kami lakukan supaya terdapat kestabilan politik sepenuhnya.

“Ia bagi mengelakkan sebarang permasalahan terutama daripada pelabur-pelabur luar negara, FDI (pelaburan langsung asing) dan juga untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal berita memetik sumber mendakwa hubungan antara Anwar dan Ahmad Zahid semakin tegang susulan beberapa isu termasuk keputusan BN menentang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Laporan itu turut mendakwa ketegangan berkenaan menyebabkan mesyuarat Kabinet kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top