Hadi digesa kemuka bukti AS tawar bantuan jatuhkan kerajaan – Lip Eng

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang digesa mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam itu untuk menjatuhkan kerajaan, pada 2014.

Setiausaha DAP Kuala Lumpur, Lim Lip Eng berkata ini, kerana tuduhan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu disifatkan berat, selain tidak dapat dibuktikan hanya dengan tepukan di Muktamar PAS.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ada memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa di negara ini.

“Saya menuntut jawapan jelas. Jika sudah (lapor kepada pihak berkuasa), nyatakan bila dan kepada siapa.

“Jika belum, mengapa kejadian didakwa berlaku 12 tahun lalu tidak dilaporkan?

“Abdul Hadi sudah membuat dakwaan, kini kemukakan bukti. Kedaulatan negara bukan modal ceramah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur dilapor menafikan dakwaan campur tangan bagi menentukan kepemimpinan politik Malaysia, sambil menyifatkan sebarang tuduhan sebaliknya sebagai palsu.

Semalam, Abdul Hadi dilapor mendedahkan wakil Kedutaan AS pernah bertanya kepadanya mengenai calon Perdana Menteri dicadangkan PAS ketika pertemuan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Pertemuan itu dikatakan berlaku ketika PAS masih dalam gabungan Pakatan Rakyat, ketika lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia.

Pertanyaan itu didakwa dikemukakan kepada Abdul Hadi selepas Ahmad Samsuri dan Takiyuddin terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan duta AS.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Samsuri dan Takiyuddin dikatakan tidak terpengaruh biarpun dimaklumkan mengenai kemungkinan menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran, selain AS dikatakan bersedia membantu usaha berkenaan.

Sementara itu, Lip Eng berkata, polis perlu mendapatkan keterangan ketiga-tiga pemimpin PAS itu dan mengenal pasti wakil AS yang didakwa menawarkan bantuan terbabit.

Katanya, polis juga perlu juga perlu menyiasat kemungkinan kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, jika wujud rancangan menumbangkan demokrasi berparlimen melalui kekerasan atau tidak berperlembagaan.

Beliau berkata, Seksyen 118 atau 120 Kanun Keseksaan juga perlu diteliti, jika ada pihak secara sengaja menyembunyikan rancangan jenayah untuk membantu pelaksanaannya, atau tahu penyembunyian itu mungkin membantu jenayah terbabit.

“Seksyen 176 atau 202 Kanun Keseksaan pula perlu dinilai jika maklumat wajib diberikan, sengaja tidak disampaikan.

“Polis mesti mengumumkan sama ada siasatan dibuka terhadap Abdul Hadi dan pihak lain, serta peruntukan undang-undang digunakan.

“Jika tiada asas untuk siasatan atau tindakan lanjut, jelaskan sebabnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top