mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Atiq Azman meluahkan hasrat mencari kerja sampingan termasuk sanggup menjadi pemandu peribadi bagi menambah pendapatan keluarga.
Perkara ini diluahkan oleh Atiq atau nama sebenarnya, Raja Muhammad Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 25, menerusi media sosial Thread miliknya.
“Assalamualaikum, saya dengan rendah diri, ada kerja kosong tak, bergaji yang okay, kalau ada boleh pm saya tak?
“Insya-Allah boleh ‘komit’ (beri komitmen), bahagian ‘marketing’ (pemasaran) ke, jadi ‘driver personal’ (pemandu peribadi), bukan saya tak nak berlakon, ‘for now’ (buat masa sekarang), nak cari gaji lebih itu sahaja ‘thank you’ (terima kasih),” tulisnya ringkas.
Perkongsian ini menerima reaksi lebih 200 komen netizen yang mencadangkan pelbagai pekerjaan yang sesuai dengannya.
Atiq yang membawa watak Amirul dalam drama fenomena Nur dan Nur 2, berkahwin dengan wanita pilihannya, seorang pramugari dikenali, Alia Natasha pada Februari lalu.
Menerusi sumber, difahamkan isterinya kini mengandung sekali gus memaksa Atiq bekerja keras mencari rezeki lebih untuk keluarganya.
Dalam perkembangan berkaitan, Atiq turut berkongsi mesejnya dengan seorang pengurus produksi di Thread.
Dia menghantar mesej sedang mencari tawaran berlakon watak ‘supporting’ (watak pembantu) atau hero untuk drama yang akan diterbitkan.
Namun kesilapannya memanggil ‘akak’ pada individu terbabit yang sebenarnya lelaki membuatkan dia diperlekehkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




